Anda di sini

Mayat jaga dibungkus plastik

Advertisement

SIASAT: Anggota polis menjalankan siasatan di tempat penemuan mayat mangsa di Hospital Umum Sarawak, semalam.

KUCHING: Tapak pembinaan bangunan baharu Hospital Umum Sarawak (HUS) ‘meragut’ nyawa kedua apabila polis menemui mayat seorang pengawal keselamatan yang dibalut dengan plastik dan ditanam di dalam lubang parit, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa dipercayai dibunuh berikutan terdapat kesan kecederaan di kepala serta leher sebelum mayatnya ditimbus dengan pasir.

Menurutnya, mangsa iaitu Abdul Razak Abu Hassan berusia 69 tahun dari Kampung Lintang pada malam kejadian dikatakan bertugas bersama seorang lagi lelaki sehingga jam 7 pagi semalam.

“Sepatutnya, ada taklimat penugasan daripada pengawal yang bertugas malam tadi (kelmarin), tetapi itu tidak berlaku kerana pengawal yang habis (selesai) bertugas tidak ada di tempat bertugas. Yang ada cuma tompokan darah. Oleh itu, pengawal yang baharu masuk (memulakan kerja) terus membuat laporan polis.

“Pemeriksaan oleh Unit Forensik, anjing pengesan di tempat kejadian telah berjaya mengesan satu tempat di mana ada kesan timbusan baharu. Jadi apabila digali, pihak polis menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah,” jelasnya.

Beliau yang berkata demikian semasa ditemui pemberita di tempat kejadian menambah, rakan sekerja mangsa yang turut bertugas semasa kejadian masih belum dapat dikesan.

“Rakan mangsa yang sama bertugas malam tadi (malam kelmarin) sehingga sekarang masih belum dapat dikesan dan kita masih berusaha untuk menjejakinya,” kata Roslan.

Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat HUS untuk tu-juan bedah siasat yang dijadual akan dijalankan pada hari ini.

“Kita dapati lubang itu memang ada di situ untuk pembi-naan parit dan setakat ini mangsa belum dapat dipastikan sama ada ditanam hidup-hidup atau sudah mati baharu ditanam sehingga selesai bedah siasat.

“Kita selain itu juga telah mengenal pasti suspek dan kini masih dikesan,” jelasnya.

Penemuan mayat itu adalah yang kedua di kawasan pembinaan terbabit yang dikejutkan dengan kebakaran besar yang mengorbankan seorang buruh binaan pada 15 Februari lepas.

Teguh Prayitno, 30, dari Indonesia rentung setelah dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 5 petang hari berkenaan.

Seramai 151 pesakit daripada 10 wad terpaksa dipindah-kan ekoran kebakaran itu.

Advertisement