Anda di sini

Lelaki 70 tahun ditemui maut dengan kesan kelar di leher

Advertisement

IPOH: Seorang lelaki berusia 70 tahun dijumpai maut dipercayai dibunuh di dalam rumah teres setingkat yang didiaminya sendirian di Taman Song Choon, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata, mangsa dikenali sebagai Chan Yan Choi ditemui terbaring dengan berlumuran darah di atas lantai di ruang dapur oleh menantu perempuannya pada jam 7.55 pagi.

“Semasa tiba di rumah itu, menantu berkenaan mendapati pagar dan pintu rumah telah terbuka dan memanggil mangsa namun tidak dijawab. Apabila masuk ke dalam rumah dia telah nampak ayahnya di bahagian dapur sebelum memaklumkan kepada polis,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada barangan berharga hilang termasuk sejumlah wang yang boleh dilihat penjenayah, bagaimanapun setakat ini dompet milik mangsa tidak dijumpai.

Selain itu, pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati tiada sebarang perbuatan pecah masuk serta kesan pergelutan ditemui, katanya.

Sum berkata pemeriksaan di sekitar tempat kejadian di Jalan Persiaran Rapat Baru 1 itu juga tidak menemui senjata yang mungkin digunakan penjenayah.

Pihak polis menerima maklumat awal kejadian pada jam 8.15 pagi berkaitan kes pecah rumah.

“Kami menggesa orang awam supaya tampil jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita yang tinggal di sebelah rumah mangsa berkata beliau tidak mendengar apa-apa bunyi yang mencurigakan dari arah rumah lelaki itu pagi semalam.

Mangsa tinggal sendirian selepas isterinya meninggal dunia lebih setahun lepas, Chan seorang yang baik dan sering keluar menaiki motosikal pada sebelah pagi untuk sarapan dan membaca akhbar, katanya. — Bernama

Advertisement