Anda di sini

Klinik Kesihatan Long Lama terima peruntukan RM4 juta

Advertisement

LONG LAMA, Baram: Klinik Kesihatan Long Lama bakal menerima peruntukan berjumlah RM4 juta daripada keraja-an pusat untuk projek naik taraf bekalan air dan jalan raya bagi keselesaan penduduk Baram.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, daripada jumlah itu RM2.5 juta disalur untuk naik taraf jalan raya, manakala bakinya untuk projek bekalan air klinik terbabit.

“Kita faham masalah klinik masih mendapat bekalan air (terawat) dari seberang sungai (Pekan Long Lama) dengan kaedah penghantaran air secara manual melalui lori tangki air,” ujarnya ketika melawat Klinik Kesihatan Long Lama di sini, semalam.

Justeru, katanya, untuk kemudahan jangka panjang, pihak kementerian bersetuju untuk melaksanakan projek menyalurkan air melalui paip merentasi Sungai Baram.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata pihaknya juga meluluskan projek naik taraf jalan raya dari pangkalan feri di tebing sungai hingga ke klinik berkenaan.

“Masalah jalan raya yang berdebu dari feri hingga ke klinik turut dapat diatasi melalui projek penurapan jalan raya nanti,” jelasnya.

Selain itu, katanya, beberapa masalah seperti ketiadaan mesin X-ray dan perkhidmatan pergigian turut mendapat perhatian kementerian itu.

Mengenai tapak klinik lama yang terletak di Pekan Long Lama, katanya, pihaknya bercadang untuk membina Klinik 1Malaysia.

“Ini untuk memudahkan penduduk jika terdapat kes-kes kecemasan supaya tidak perlu menyeberangi sungai dengan feri, terutamanya selepas waktu operasi feri (7 pagi hingga 8 malam),” ujar beliau.

Pada masa sama, katanya, ia turut mengurangkan kos ulang-alik penduduk dengan perjalanan sehala menaiki feri dan kenderaan (pacuan empat roda) menelan kos RM15.

Advertisement