Anda di sini

K’jaan bantu pekebun kecil hadapi kejatuhan harga getah

Advertisement

TEMERLOH: Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah jangka pendek dan panjang bagi membantu 326,253 pekebun kecil di negara ini yang berdepan masalah berikutan penurunan harga getah global masa kini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kementerian dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan akan merangka langkah itu dalam mesyuarat petang semalam.

“Kerajaan memandang serius kejatuhan harga getah yang membebankan masyarakat

pekebun kecil. Kementerian akan memperhalusi langkah jangka pendek dan panjang untuk membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen Penorehan Peringkat Nasional di kawasan Tanaman Semula Berkelompok (TSB) Kampung Purun/Machang Manis di sini yang dihadiri kira-kira 5,000 pekebun getah dari seluruh negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Difahamkan antara langkah yang akan dibincangkan ialah pemberian Bantuan Khas Akibat Kejatuhan Harga Getah (BKKH) secara ‘one off’ kepada pekebun kecil yang layak dan memenuhi syarat.

Harga getah semasa SMR20 jatuh sehingga RM5.99 sekilogram, yang lebih rendah berbanding ketika kerajaan memperkenalkan bantuan BKHH pada tahun lepas iaitu RM7.09 sekilogram.

Harga komoditi itu mengalami kejatuhan yang serius berikutan beberapa faktor termasuk sentimen di Bursa Komoditi Tokyo yang mengalami penurunan harga terendah dalam tempoh 18 bulan selain pengurangan permintaan getah dari China yang merupakan pembeli getah terbesar dunia.

Selain itu, ia turut disumbangkan oleh tindakan negara pengeluar getah asli utama dunia seperti Thailand dan Indonesia yang menghasilkan lebihan getah asli di dunia di pasaran dunia.

Harga pasaran di ladang untuk getah skrap pada masa ini dilaporkan kira-kira RM2.25 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil yang bergantung hidup dengan hasil getah kini berada di paras kemiskinan.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Kempen Penorehan Peringkat Nasional itu dilancarkan bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada pekebun kecil mengenai teknik penorehan yang betul dan sempurna untuk memaksimumkan hasil pengeluaran susu getah selain memanjangkan jangka hayat tanaman itu.

Menurutnya ini secara langsung dapat membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti mereka sekaligus melonjakkan perolehan hasil bulanan.

Beliau berkata Risda telah memperkenalkan Kempen Amalan Pertanian Baik (GAP) iaitu gerakan membaja, penggunaan bahan ransangan lateks dan kempen penorehan sejak 2011, yang sudah menunjukkan kesan positif dalam peningkatan pendapatan pekebun kecil.

Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan pekebun kecil supaya menambah hari menoreh lebih daripada 12 hari sebulan sebelum ini untuk menambah pendapatan masing-masing. — Bernama

Advertisement