Anda di sini

Kes demam denggi di utara Sarawak meningkat

Advertisement

MIRI: Terdapat trend peningkatan dalam kes demam denggi yang dicatatkan di kawasan utara Sarawak awal tahun ini.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata Miri, Lawas, Limbang dan Sibu antara titik panas yang dikenal pasti.

“Terdapat trend peningkatan kes-kes demam denggi dicatatkan di kawasan-kawasan terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada lawatan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ke Klinik Kesihatan Long Lama semalam.

Walaupun menunjukkan peningkatan, beliau memberitahu bahawa setakat ini tiada laporan serius melibatkan kematian dicatatkan.

Bagaimanapun katanya, walaupun tiada kes serius melibatkan kehilangan nyawa pada tahun ini langkah-langkah keselamatan segera harus diambil bagi membendungnya daripada terus mencatatkan peningkatan.

Antaranya ialah kerjasama antara penduduk dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan berdekatan.

“Apa yang perlu dilakukan adalah bergotong-royong membersih kawasan persekitaran,” jelasnya.

Ini termasuk membuang bekas-bekas takungan air, membersih longkang tersumbat dan punca-punca air bertakung lain yang boleh menjadi habitat nyamuk aedes.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau dan beberapa ketua masyarakat tempatan.

Advertisement