PAKAN: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 di kawasan luar bandar diingatkan supaya tidak menjadikan potongan bantuan sebanyak RM50 itu menjadi satu isu.
Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum berkata potongan itu dilaksanakan kerajaan bagi mendapatkan polisi insurans dalam tempoh satu tahun untuk setiap penerima BR1M.
“Jangan menuduh Pejabat Daerah, bank-bank, kakitangan daripada jabatan-jabatan berkenaan mengenakan caj atau memakan duit RM50 itu.
“Polisi insurans adalah satu langkah baik daripada kerajaan untuk melindungi anda jika berlaku apa-apa kejadian tidak diingini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucar BR1M 3.0 Daerah Pakan di sini, semalam.
Pada majlis penyerahan bantuan itu, Salang turut menyerahkan BR1M 3.0 itu kepada 10 tuai rumah di kawasan Pakan.
Beliau berkata, penerangan mengenai potongan sebanyak RM50 daripada BR1M itu dimaklumkan oleh kerajaan sebelum ini kepada umum tetapi masih ada masyarakat belum memahami tujuan potongan RM50 itu.
Salang yang juga pengerusi Majlis Penasihat Sarawak 1Malaysia (1MSAC) menggesa pengusaha kedai di kawasan luar bandar supaya tidak menaikkan harga barang disebabkan BR1M.
Menurutnya, bantuan kerajaan itu adalah untuk meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang keperluan harian.
Sementara itu, beliau memohon kerjasama tuai-tuai rumah supaya menjadi wakil kepada penduduk untuk mengutip BR1M di Pejabat Daerah bagi mengurangkan kesesakan di pejabat itu.
Katanya, hanya individu yang didaftarkan nama di baucar BR1M 3.0 sahaja boleh menunaikan bantuan itu di bank dilantik, jadi tidak ada persoalan untuk menuduh tuai rumah terbabit menyalahgunakan kedudukan mereka.
Terdahulu, dalam ucapannya Pegawai Daerah Pakan Inting Nyami berkata daerah itu mempunyai kira-kira 6,000 penerima BR1M 3.0 yang layak menerimanya.
Katanya, seramai 2,479 penerima akan menerima baucar BR1M 3.0 mereka di bawah fasa pertama pengagihan bantuan tersebut.
Hadir sama Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot.