SIMUNJAN: Pembinaan Jambatan Sageng bernilai RM40 juta yang akan siap Julai tahun ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk Gedong dan 10,000 penduduk Simunjan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Datuk Mohd Naroden Majais.
“Projek Jambatan Gedong dan jalan raya penghubung kini sudah siap yang mana kedua-duanya bernilai RM80 juta.
“Apabila jambatan ini siap nanti, ia menjadikan keseluruhan projek dua jambatan dan jalan tersebut bernilai RM120 juta.
“Bukan itu sahaja, perjalanan dari Gedong ke Simunjan dapat disingkatkan iaitu hanya sejauh 18 kilometer berbanding 150 kilometer melalui jalan utama dari Serian,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan jambatan tersebut semalam.
Tambah Naroden, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang melaksanakan projek itu, Jambatan Sageng yang sepatutnya siap September tahun lalu mengalami kesulitan dalam pembinaan disebabkan tiang jambatan tersebut beralih disebabkan arus air yang kuat.
“Oleh itu, JPS kini sedang berusaha menyiapkan projek jambatan kira-kira sepanjang 100 meter ini dan dijangka siap pada Julai tahun ini,” katanya.
Menurutnya, projek tersebut bakal membuka lembaran baharu kepada kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu.
“Kawasan antara jambatan tersebut kini telah dibangunkan dengan tanaman sawit dan ini pastinya dapat meningkatkan pendapatan penduduk.
“Pelita Holding dan Tabung Haji yang turut membangunkan ladang sawit di situ turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di kedua-dua daerah terbabit,” jelasnya.
Terdahulu, beliau telah menghadiri Majlis Pelancaran Penyerahan BR1M 3.0 bagi DUN N.21 Simunjan di Dewan Mesra Majlis Daerah Simunjan.