Anda di sini

Gudang perabot musnah terbakar, kerugian RM1 juta

Advertisement

PADAM: Beberapa anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di gudang berkenaan.

MIRI: Sebuah gudang per­abot di Jalan Padang Kerbau di sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku pada jam 1 petang semalam.

Ketika kejadian, beberapa pekerja berada di gudang tersebut yang terletak hanya beberapa meter dari bangu­nan utama iaitu kedai yang mempamerkan perabot sudah siap.

Menurut salah seorang pekerja yang enggan namanya disiarkan, mereka ternampak asap tebal dari atas gudang berkenaan dan dalam tempoh beberapa saat kemudian, api yang marak membakar ban­gunan tersebut.

“Sebaik kami ternampak api tersebut, kami terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk men­dapatkan bantuan,” tambah beliau.

Dua buah jentera pemadam api, masing-masing sebuah dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri dan Lo­peng, tiba di tempat kejadian pada jam 1.09 petang selepas menerima panggilan pada jam 1.07 petang.

Superintenden Unjar Lum dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri mem­beritahu seramai 14 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kami berjaya menga­wal api pada jam 1.15 petang dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” tambahnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, gudang perabot terse­but dipercayai mengalami kerugian sekitar RM1 juta kerana kesemua perabot yang ada di dalamnya musnah dalam kebakaran.

Punca kebakaran masih disiasat.

 

Advertisement