Anda di sini

Cadangan tubuh majlis mantan naib canselor untuk tambah baik pendidikan IPT

Advertisement

CYBERJAYA: Cadangan penubuhan Majlis Mantan-Mantan Naib Canselor adalah bagi memanfaatkan pengalaman mantan naib canselor universiti-universiti tempatan untuk menambah baik sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata cadangan itu akan dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan.

“Ia adalah Majlis yang baik untuk kita mendapatkan kepakaran mereka.

Sesetengahnya ada yang membangunkan universiti bermula daripada peringkat awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi perkongsian khas bersama mantan naib-naib canselor universiti-universiti di Malaysia di Universiti Islam Malaysia (UIM) di sini, semalam.

Beliau berkata sumbangan yang mereka curahkan sebelum ini banyak membantu mentransformasikan pembangunan pendidikan negara dalam menghadapi cabaran kontemporari.

Sesi itu yang dianjurkan UIM bertujuan berkongsi idea dan pengalaman semua mantan naib canselor seluruh IPTA dalam pembangunan akademik dan ilmu pengetahuan sepanjang menerajui IPT.

UIM adalah universiti di bawah Majlis Raja-Raja dan merupakan universiti wakaf pertama di Malaysia.

Semua pengajian dan penyelidikannya di peringkat sarjana dan doktor falsafah, bagi melahirkan pakar-pakar pemikir terutamanya dalam bidang sains dan teknologi yang berasaskan al-Quran.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata penubuhan IPT tidak seharusnya berorientasikan keuntungan semata-mata.

“Universiti tidak harus mementingkan keuntungan. Malah, apa yang kita tawarkan dalam surat mereka, mestilah sama dengan apa yang diajar.

“Ini peranan kementerian untuk memastikan mereka dapat melaksanakan apa yang dijanjikan,” kata beliau.

Selain itu, katanya penekanan terhadap pembelajaran secara dalam talian di universiti-universiti juga boleh dimantapkan lagi kerana boleh menjimatkan kos pendidikan. — Bernama

Advertisement