Anda di sini

Bermimpi jumpa nenek, gadis nekad terjun Sungai Rajang

Advertisement

SELAMAT: Anggota JPAM mengusung mangsa keluar dari kesesakan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Sibu semalam.

SIBU: Gara-gara bermimpi neneknya yang sudah lama meninggal dunia mahu berjumpa dengannya, seorang gadis Iban berusia 18 tahun nekad terjun ke Sungai Rajang, pagi semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila dua lelaki berdekatan ternampak seorang gadis tiba-tiba terjun ke sungai berhampiran pam tebatan banjir di Jalan Khoo Peng Loong, di sini.

Tanpa berfikir panjang, dua lelaki tersebut terus mengambil tali dan terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa yang sudah pun tenggelam.

Mujurlah tindakan berani dua lelaki itu berjaya menyelamatkan mangsa, manakala orang awam menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan ambulans.

Anggota JPAM yang tiba di lokasi kemudian memeriksa keadaan mangsa yang sangat lemah dan tidak mampu bercakap.

Bimbang mangsa semakin tertekan melihat keadaan sekeliling yang dipenuhi orang awam, polis meminta anggota JPAM menghantar mangsa ke hospital secepat mungkin.

Setibanya di hospital, pihak paramedik bertanya kepada mangsa kenapa dia bertindak terjun ke sungai.

Menurut mereka, mangsa memberitahu telah bermimpi mendiang neneknya menyuruhnya terjun ke sungai supaya mereka dapat bertemu semula.

Selepas bangun dari tidur pagi itu, mangsa terus pergi ke bandar dan pam tebatan banjir di situ lalu terjun ke sungai.

Difahamkan, mangsa berasal dari Kapit dan baharu sahaja berpindah ke Sibu mengikut ibu bapanya.

Keadaan mangsa kini stabil, namun masih ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Advertisement