Anda di sini

Anggota polis maut diserang warga asing

Advertisement

KLANG: Seorang anggota polis peronda maut manakala rakan setugasnya cedera selepas diserang hendap sekumpulan warga asing dalam satu kejadian di Taman Sentosa di sini awal pagi semalam.

Koperal Raja Aizam Raja Mohd, 53, yang cedera di kepala maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) manakala Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, masih menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira jam  5 pagi itu, kedua-dua mereka daripada unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan diserang hendap ketika meronda di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.

“Dalam pergelutan itu, seorang anggota polis ditikam dan meninggal dunia kemudiannya manakala seorang lagi ditetak di muka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Raja Aizam di HTAR.

Difahamkan dalam pergelutan yang berlaku, pistol milik Raja Aizam telah dirampas suspek yang cuba menembak Mohd Aidil tetapi senjata itu gagal berfungsi sebelum ia dirampas Mohd Aidil dan kemudian menembak dua suspek.

Khalid berkata dua suspek ditembak mati dalam kejadian itu dan sebilah pisau ditemui berhampiran Raja Aizam.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menyifatkan serangan terhadap anggota polis oleh warga asing sebagai tindakan melampau dan keterlaluan. — Bernama

Advertisement