Anda di sini

Putera Kuala Lawas ungguli Regata Brunei

Advertisement

BRUNEI: Pasukan Putera Kuala Lawas (PKL) mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara sekali gus merampas kembali Piala Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Regata Brunei 2014 sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-30 berlangsung meriah di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan di sini kelmarin.

Selain membawa pulang Piala Sultan Hassanal Bolkiah, pasukan tersebut menerima wang tunai BND6,000 manakala tempat kedua dimenangi Majlis Sukan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama Brunei dan ketiga Gamta Brunei Darussalam.

Hadiah kemenangan disampaikan sendiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Hadir sama Pengiran Muda Mahkota Al Muhtadee Billah.

Turut sama Pengurus PKL, Abdul Kadir Bayan dan penolong pengurusnya, Abdul Hamid Abdul Rahman.

Selain acara marathon (30 pekayuh), pasukan tersebut turut menyertai acara kategori 15, 20 dan 25 pekayuh dan jemputan khas 15 dan 20 pekayuh pada regata kali ini.

Ketua Kontinjen Pasukan Putera Kuala Lawas, Awang Damit Ali Hasan berkata kemenangan tersebut adalah hasil semangat tinggi, perpaduan, kerjasama dan disiplin ditunjukkan anak-anak buahnya yang meletakkan nama PKL di mercu kejayaan.

Katanya, teknik kayuhan ala-ala Indonesia diperkenalkan musim ini hasil bimbingan dan latihan jurulatih berpengalaman dari tanah seberang turut menjadi faktor kepada kejayaan mereka.

“Setelah kecundang tahun lalu, kami berusaha sebaik mungkin mengapai misi merampas Piala Sultan Brunei selepas berlatih lebih sebulan lalu.

“Kita akan mempertahankan kejayaan ini pada Regata Brunei tahun depan,” katanya sambil menambah akan membawa anak-anak buahnya bercuti ke Kota Kinabalu selepas ini.

Sebanyak 23 acara dipertandingkan pada Regata Brunei kali ini termasuk 18 acara sebelah pagi dan lima acara sebelah petang.

Acara dipertandingkan termasuk lumba perahu bot laju, lumba perahu antara kementerian, perahu tambang, perahu Fiberglass, perahu tradisi dan jetski.

Lebih 20 pasukan menyertai Regata Brunei kali ini membabitkan peserta dari Kuala Lawas (Malaysia), Lawas (Malaysia), Trusan dan Sundar, Lawas (Malaysia), pasukan lumba perahu dari negara Nanjing Republik Rakyat China yang pertama kali menyertai kejohanan itu selain pasukan tempatan, Brunei.

Turut penyertaan musim ini peserta dari Sarawak membabitkan Bahagian Kuching dan Sibu dan bagi kategori lumba bot laju.

Selain marathon, PKL turut mengungguli tempat kedua dan ketiga kategori jemputan 15 pekayuh, tempat ketiga bagi 20 pekayuh kategori sama dan tempat kedua 25 pekayuh terbuka.

Advertisement