Anda di sini

Pelajar dipercayai dibelasah seorang bekas pelajar

Advertisement

SIBU: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Sungai Bidut di sini dipercayai dibelasah oleh seorang bekas pelajar yang sering membuat kacau di sekolah tersebut.

Mangsa dipercayai dibelasah seorang daripada enam bekas pelajar sekolah yang pernah mengugut memukul kereta milik seorang guru wanita sekolah berkenaan.

Ketika itu, enam bekas pelajar tersebut bermain pingpong di sekolah tersebut tetapi dihalau oleh seorang guru wanita berkenaan kerana mereka bukan lagi pelajar di situ.

Marah dengan tindakan guru wanita tersebut, mereka mengugut untuk merosakkan kereta miliknya.

Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, guru wanita tersebut membuat laporan polis.

Seminggu selepas itu, enam bekas pelajar tersebut muncul kembali semasa sekolah tersebut mengadakan satu majlis Tahun Baharu Cina, memaksa pihak sekolah menghubungi polis.

Apabila pasukan polis muncul enam pelajar tersebut bergegas melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Namun, mereka berjaya ditangkap polis tetapi hanya diberi amaran dan nasihat agar tidak mengganggu ketenteraman awam di sekolah itu.

Bagaimanapun, seorang daripada bekas pelajar tersebut dipercayai membelasah salah seorang pelajar sekolah tersebut.

Pelajar terbabit membuat laporan polis mengenai insiden itu namun punca mereka bergaduh tidak dapat dipastikan.

Advertisement