Anda di sini

Orang Asli di Pos Bihai mohon kerajaan bina jambatan baharu

Advertisement

GUA MUSANG: Sebanyak 180 penduduk Orang Asli di tiga kampung sekitar Pos Bihai di sini, meminta kerajaan membina tiga jambatan baharu di kawasan itu bagi menggantikan jambatan kayu yang runtuh sejak lima tahun lalu.

Penduduk terbabit dari Kampung Lakloh, Kampung Saud dan Kampung Hak terpaksa menyeberangi tiga sungai menggunakan rakit buluh bagi mengangkut motosikal dan anak masing-masing untuk dihantar ke Sekolah Kebangsaan Pos Bihai.

Ismail Adam, 38, dari Kampung Lakloh, berkata permohonan itu sudah lama dikemuka kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pemimpin tempatan namun setakat ini belum ada tindakan bagi membina jambatan baharu.

“Seramai 33 pelajar Orang Asli berulang-alik dari rumah ke sekolah berkenaan setiap hari persekolahan sering terdedah kepada bahaya.

“Paling berbahaya apabila hujan yang menyebabkan paras air sungai naik mengejut hingga kadangkala ibu bapa terpaksa membatalkan hasrat untuk menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya kepada pemberita semalam.

Ismail juga berkata jambatan kayu itu dibina sebuah syarikat pembalakan dan apabila kerja pembalakan selesai, keadaannya terbiar begitu sahaja tanpa selenggaraan menyebabkan ia reput dan runtuh.

“Saya bimbang dengan keselamatan murid sekolah kerana tahun lalu pernah berlaku seorang murid anak Orang Asli dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai berkenaan, tetapi nasib baik sempat diselamatkan oleh penduduk,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Ab Aziz Yusof ketika meninjau jambatan yang runtuh, berkata pihaknya akan berbincang dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan secepat mungkin bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kita bersimpati dengan nasib hidup penduduk Orang Asli di tiga kampung berkenaan yang terpaksa menyeberangi sungai dengan menggunakan rakit buluh hingga boleh mengancam nyawa murid sekolah,” katanya. — Bernama

Advertisement