Anda di sini

Malam Anugerah Pendidikan DBNA Miri ditunda 15 Mac ini

Advertisement

MIRI: Majlis Malam Anugerah Pendidikan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Miri yang dijadualkan pada 8 Mac ini ditunda kepada tarikh baharu iaitu pada 15 Mac.

Setiausahanya Caroline Siburat memberitahu, majlis berkenaan ditunda atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Kami mahu mereka yang telah membeli tiket tersebut maklum dengan tarikh yang ditukar.

“Sekiranya mereka tidak dapat menghadiri majlis terbabit pada tarikh yang telah ditukar diharapkan dapat berurusan dengan pihak jawatankuasa dengan segera,” katanya.

Bertemakan ‘Empowering Community Through Education’, majlis berkenaan berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dijangka menjadi tetamu kehormat sekali gus merasmikan majlis berkenaan.

Sehubungan itu, masyarakat Bidayuh di sini diingatkan agar menghantar nama anak-anak mereka yang cemerlang dalam peperiksaan awam UPSR, PMR, SPM dan STPM 2012 dan 2013 bagi diberi anugerah pendidikan tersebut.

Jelas beliau, anugerah tersebut terbuka kepada pelajar yang memperolehi semua A dalam UPSR dan PMR manakala 9A bagi SPM dan 4 Prinsipal STPM yang sekurang-kurangnya A atau B dalam semua subjek.

“Oleh itu, anak-anak ahli DBNA atau anak-anak Bidayuh digalak mengambil peluang tersebut.

“Ibu bapa dan penjaga juga digalak menghantar nama anak-anak mereka agar mendapat anugerah terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, setiap calon akan disahkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa sebelum melayakkan mereka menerima anugerah tersebut.

“Anugerah berkenaan bukan hanya untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar Bidayuh tetapi bagi memberi motivasi serta semangat kepada mereka untuk terus berusaha melakukan yang terbaik dalam pendidikan.

“Cemerlang dalam akademik adalah sangat penting bagi mempunyai masa depan yang lebih cerah.

“Oleh itu, pengiktirafan ini adalah sebagai pemangkin dan meningkatkan kesedaran anak-anak muda tentang kepentingan pendidikan,” ujarnya.

Mereka yang berminat disenaraikan dalam anugerah berkenaan dinasihati menghantar salinan keputusan masing-masing dan sijil kelahiran kepada Caroline sebelum Rabu (5 Mac) ini.

Selain anugerah pendidikan, penganjur turut memberi pengiktirafan kepada graduan Bidayuh di Miri yang tamat pengajian antara tahun 2012 dan 2013.

Sementara itu, tiket dijual pada harga RM50 untuk seorang atau RM500 bagi satu meja merangkumi 10 orang.

Mereka yang ingin membeli tiket atau mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi jawatankuasa DBNA iaitu Presiden DBNA Miri Kapten Bernard Idit di talian 016-4454854, Caroline (013-5682378) Michael Veno (0138278938) atau Joseph Pitos (019-8841457).

Advertisement