Anda di sini

KPDNKK ajak pembangkang sertai operasi tangani kenaikan harga barang

Advertisement

PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malik mempelawa pihak pembangkang untuk turut menyertai operasi dijalankan bagi membendung kenaikan harga barang.

“Kita menyedari isu kenaikan harga barang ini dijadikan isu mainan politik dan dijadikan senjata untuk menyerang kerajaan dan jika kita gagal kawal persepsi ini, maka ia boleh menggugat kestabilan politik dan akhirnya boleh menghancurkan negara,” katanya.

Beliau berkata kementerian sentiasa mengalu-alukan semua pihak termasuk pembangkang untuk menyumbang kepada negara secara positif dan memberikan cadangan bagi penambahbaikan operasi itu.

“Saya bersedia menerima pandangan…fokus negara buat masa ini adalah untuk menangani kos sara hidup,” katanya.

Hasan berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan Ops Tanda Harga di Presint 19 di sini semalam yang turut disertai timbalannya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Alias Ahmad.

Operasi itu bertujuan memastikan peniaga mematuhi undang-undang dengan meletakkan tanda harga pada barangan yang mereka jual serta membanteras kegiatan memanipulasi harga.

Menurut rekod, sepanjang pelaksanaan Ops Harga dari Julai 2013 hingga Februari lepas, sebanyak 5,967 kertas siasatan dibuka berhubung kesalahan gagal mempamerkan penandaan harga.

Mengulas mengenai aktiviti pengambilan untung sesetengah peniaga yang menjual tong dan bekas air dengan harga tinggi, Hasan berkata tindakan akan diambil terhadap peniaga terbabit.

“Yang pentingnya pengguna perlu membuat aduan dan maklumat yang tepat kepada kita (kementerian), supaya kita tahu di mana kenaikan harga tersebut berlaku,” katanya. — Bernama

Advertisement