Anda di sini

Kebajikan rakyat sentiasa diambil berat, kata Maurice

Advertisement

BANTU RAKYAT: Penerima bantuan beratur mendaftarkan nama mereka pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir di Kanowit.

KANOWIT: Kebajikan rakyat di negara ini sentiasa diambil berat oleh kerajaan, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan kebajikan kepada rakyat membolehkan nasib rakyat dibela.

“Mereka yang kurang berkemampuan kita juga bantu begitu juga dengan mereka yang dilanda bencana alam.

“Kita sedaya upaya membantu rakyat dengan pelbagai bantuan yang diperkenalkan.

“Kerajaan kita bolehlah disifatkan sebagai kerajaan yang prihatin dan bertindak berdasarkan nadi rakyat. Rakyat menjadi keutamaan kepada kerajaan negara ini,” katanya ketika mewakili Menteri Muda Pelancongan (Acara & Produk) Datuk Gramong Juna pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir bagi daerah Kanowit di sini.

Majlis itu dianjurkan Pejabat Daerah Kanowit dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan seramai 297 orang menerima bantuan tersebut.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, Pegawai Daerah Kanowit Ibrahim Kipli, wakil Pengarah MKN Mohd Faizal Shah Ali, Pegawai Kebajikan Daerah Kanowit Hasnah Yaakob dan Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail.

Maurice berkata, sebanyak 27 rumah panjang di sini yang dilanda banjir pada Disember lalu menerima bantuan sebanyak RM500 sepintu daripada peruntukan disediakan oleh MKN.

“Jumlah keseluruhan bantuan diagihkan ialah RM148,500.

“Ini melibatkan kos besar dan menunjukkan keprihatinan kerajaan yang sanggup berbelanja besar untuk rakyat,” katanya.

Jelasnya, bantuan wang ihsan diagihkan melalui prosedur yang ditetapkan dan hanya layak kepada mereka yang menjadi mangsa banjir sahaja.

Beliau berkata bencana alam seperti banjir adalah suatu perkara yang tidak dapat dijangka dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Penyerahan wang ihsan ini adalah untuk mengurangkan beban mangsa banjir dan bukannya sebagai ganti rugi terhadap kerosakan harta benda,” ujarnya.

Terdahulu, Alexander merakamkan penghargaan kepada MKN yang sudi hadir dan memperuntukkan belanja bagi mangsa banjir di sini.

Beliau berharap mangsa banjir terbabit bersyukur dengan pelbagai bantuan diberikan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 dan wang ihsan mangsa banjir ini.

“Gunakan wang tersebut untuk meringankan beban dan jangan beranggapan bahawa wang ihsan tersebut terlalu sedikit.

“Kerajaan juga sentiasa membantu penduduk di rumah panjang dan kawasan pedalaman dengan memberi geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 bagi kegunaan setiap rumah panjang,” tambahnya.

Sementara itu, Alexander turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak seperti polis, RELA, bomba, Pejabat Daerah Kanowit dan lalin-lain yang turut sama membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sini.

Advertisement