Anda di sini

Juruteknik hilang RM11,000 terpedaya sindiket kad kredit

Advertisement

MELAKA: Seorang juruteknik teknologi maklumat kehilangan RM11,000 dalam akaun simpanannya kerana terpedaya dengan sindiket penipuan kad kredit melalui pesanan peti suara telefon bimbitnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt Ee Khong Koy berkata lelaki berusia 37 tahun itu dari Tanjung Kling di sini pada mulanya menerima pesanan peti suara daripada individu mendakwa pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung masalah kad kreditnya kira-kira jam 4.30 petang pada 18 Feb lepas.

“Mangsa kemudian diarah menghubungi seorang pegawai bahagian perkhidmatan pelanggan kononnya dari BNM bagi menyelesaikan masalah itu…mangsa menghubungi pegawai tersebut dan memberi semua maklumat peribadi termasuk maklumat akaun simpanannya kepada pegawai terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata mangsa seterusnya diarah tidak melakukan sebarang transaksi menerusi akaun simpanannya dalam masa tiga hari bagi tujuan keselamatan.

Tetapi selepas tiga hari mangsa menyedari sejumlah wang dalam akaunnya telah hilang.

Katanya, mangsa cuba menghubungi pegawai terbabit namun gagal dan bertindak menghubungi pihak bank yang mengeluarkan kad kreditnya namun pihak bank tersebut menafikan pernah membuat panggilan.

Mangsa kemudian membuat aduan di Balai Polis Malim di sini kelmarin.

Ee berkata sindiket terbabit dikesan menghubungi mangsanya secara rawak melalui peti suara tersebut sebelum mengambil segala butiran peribadi mangsa juga maklumat bank termasuk Kod Pengesahan Transaksi.

Katanya mangsa diarah tidak membuat sebarang transaksi dalam tempoh tiga hari tersebut kerana sindiket terbabit dipercayai mengambil peluang untuk mencuri semua wang daripada akaun milik mangsanya.

“Sindiket ini juga dikesan kerap bertukar nombor telefon bagi mengelak dihubungi mangsanya dan dikesan pihak berkuasa…pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sindiket menggunakan cara penipuan seperti ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 49 kes penipuan ‘Macau Scam’ membabitkan penipuan menggunakan panggilan telefon, e-mel dan pesanan peti suara dengan kerugian RM1.44 juta telah dilaporkan sepanjang tahun lepas di negeri ini.

“Kita juga telah menerima 11 laporan dalam penipuan yang sama melibatkan kerugian berjumlah RM87,000 antara Januari tahun ini hingga semalam (kelmarin),” katanya.

Ee berkata dalam tempoh sama polis menerima sembilan laporan membabitkan sindiket penipuan pintasan cek dengan tiga daripadanya membabitkan kerugian berjumlah RM13,260 manakala selebihnya berjaya dikesan dan cek itu dibatalkan pihak bank. — Bernama

Advertisement