Anda di sini

Flat tidak diselenggara jejas kehidupan penduduk

Advertisement

KOTOR: Setiausaha MDLBS Justani Joni memeriksa sebuah rumah tidak berpenghuni di salah sebuah kediaman flat berkenaan.

Penduduk rayu HDC laksana tugas lebih berkesan atasi pelbagai kerosakan flat di Sibu Jaya

SIBU: Penduduk yang tinggal di flat di Sibu Jaya merayu pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) melaksanakan tugas dengan lebih berkesan bagi mengatasi pelbagai kerosakan yang menjejaskan kehidupan mereka.

Dalam tinjauan di sini mendapati rata-rata penduduk kecewa kerana kawasan kediaman mereka tidak diselenggara dengan sempurna.

Menurut mereka, antara kerosakan itu ialah saluran paip tersumbat, dinding bangunan retak serta sistem perparitan yang gagal berfungsi dengan sempurna.

Seorang penduduk flat itu mendakwa bayaran bulanan untuk kos penyelenggaraan seolah-olah tidak berbaloi dengan apa yang terjadi kepada mereka.

“Kalau tidak silap, bayaran kos penyelenggaraan bagi penduduk kawasan flat ialah RM14.

“Namun, amat mendukacitakan apabila mereka gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Saya percaya beberapa penduduk flat lain membuat aduan kepada pihak terbabit untuk tindakan segera,” katanya.

Sehubungan itu, kira-kira 100 penduduk flat di Sibu Jaya menyertai Program Gotong-royong Kebersihan dan Anti-Denggi anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) kelmarin.

Menurutnya, keadaan persekitaran yang kotor dan tidak selesa turut mengundang pelbagai jenis penyakit seperti denggi dan malaria.

Katanya kebanyakan kerosakan yang sepatutnya diselenggara pihak HDC terpaksa dilakukan oleh penduduk sendiri.

“Kami bukan berkira tentang kos tetapi ia adalah tanggungjawab mereka.

“Apa guna kami bayar wang penyelenggaraan… kalau ini yang kami dapat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi MDLBS Kaunselor James Laju Ambok ketika ditemui menjelaskan bahawa beliau ada menerima aduan mengenai perkara itu.

Begitupun, pihaknya tidak dapat menyelesaikan semua masalah yang dihadapi penduduk kerana aduan-aduan mereka rata-ratanya berkisar tentang isu penyelenggaraan.

“Tambahan pula, kawasan kediaman flat adalah di bawah seliaan pihak HDC.

“Tetapi, saya dapat membantu penduduk dengan merujuk masalah mereka kepada HDC untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut mengakui, beberapa perkara juga perlu diberi perhatian oleh pihak terbabit seperti pokok kayu yang ditanam di tepi jalan raya terlalu tinggi dan perlu dicantas.

Ini kerana, dahan pokok kayu tersebut terletak terlalu hampir dengan kabel elektrik.

Advertisement