Anda di sini

BR1M tidak harus dilihat satu-satunya usaha kerajaan bantu rakyat

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan satu bahagian sahaja daripada pelbagai inisiatif yang kerajaan beri untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata selain BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Bantuan Awal Persekolahan dan banyak lagi adalah bantuan untuk rakyat sebagaimana yang dijanjikan kerajaan.

“Agihan BR1M (yang ditambah kadarnya) ini merupakan antara yang terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional ketika pilihan raya tahun lalu dan kita (kerajaan) cuba membuktikan kepada rakyat yang kita sedang menunaikan janji,” kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus itu kepada Bernama selepas majlis penyerahan baucar BR1M bagi kawasan Parlimen Kuala Nerus di sini semalam.

“Sekiranya mereka katakan tidak cukup, kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan (negeri yang diperintah pembangkang) juga harus memainkan peranan membantu rakyat (yang berpendapatan rendah),” katanya mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan jumlah BR1M yang diberikan kerajaan tidak mencukupi.

Ahmad Razif berkata lebih 14,000 penduduk di kawasan Parlimen Kuala Nerus akan menerima baucar BR1M 3.0 yang akan diedarkan secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bermula semalam.

Ahmad Razif yang juga anggota DUN Seberang Takir berkata sebanyak 6,028 orang menerima baucar bantuan itu pada majlis penyerahan semalam yang melibatkan penduduk DUN Tepoh dan Bukit Tunggal.

BR1M 3.0 dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300. — Bernama

Advertisement