Anda di sini

Setiap cawangan PBB digesa tubuh Skuad Sayang

Advertisement

SERIAN: Menteri Kebajikan Wanita Dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menggesa setiap cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di seluruh menubuhkan Skuad Sayang untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Ia sebagai mengikuti jejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai sebelum ini.

“Ia hasil daripada mesyuarat Biro Pendidikan dan Ekonomi MKT PBB sebelum ini dan ia perlu bagi membantu kebajikan OKU, ibu tunggal dan mereka yang miskin.

“Akan tetapi ia memerlukan kerjasama kaum lelaki yang memberi kesinambungan yang baik bagi membantu komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang anjuran Pergerakan Wanita PBB Kedup di sini semalam.

Beliau yang juga ketua Pergerakan Wanita PBB Negeri menjelaskan bahawa peruntukan yang disumbangkan oleh setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan digunakan sebaik mungkin bagi tujuan tersebut.

“Ini cara kami dan kami juga akan menyimpan rekod sesiapa sahaja yang telah kami bantu hasil sumbangan ADUN tadi.

“Ia bertujuan sebagai bantuan pendahuluan sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan yang sepatutnya,” ujarnya.

Rakyat akan mengingati budi baik yang dilakukan pemimpin mereka dan hasilnya akan dapat dilihat menerusi hari pembuangan undi pada PRU akan datang.

Turut hadir ADUN Kedup Martin Ben, Ketua Pergerakan Wanita PBB Jenny Gita, Setiausaha Sulit Ketua Menteri Kaunselor Dayang Ruhayah, Timbalan Ketua Cawangan PBB Kedup Alexander Ganyang, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad dan Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS Dr Helmi Azmi.

Advertisement