Anda di sini

Razali saran penerima BR1M simpan untuk pendidikan anak

Advertisement

MUAR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menyarankan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 memperuntukkan sebahagian daripada bantuan itu untuk pendidikan anak-anak.

Jika kerajaan memberikan tumpuan utama kepada bidang pendidikan dengan memperuntuk 30 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun, rakyat juga perlu mencontohi langkah yang sama, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian BR1M 3.0 kepada 2,600 orang penerima muda kawasan Parlimen Muar di Parit Raja di sini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata sebanyak 25,360 orang di kawasannya menerima bantuan itu termasuk individu bujang yang membabitkan bantuan hampir RM15 juta tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15,109 orang menerima BR1M menerusi akaun masing-masing manakala 10,251 orang lagi dibayar menggunakan baucar tunai.

Selain BR1M, katanya sebanyak 1,888 orang kurang upaya di kawasan Parlimen Muar menerima bantuan bulanan berjumlah RM474,700 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Seramai 900 nelayan di kawasan itu juga menerima bantuan sara hidup sebanyak RM180,000 setiap bulan daripadaa kerajaan untuk meringankan beban mereka dalam menghadapi kenaikan harga barang,” katanya. — Bernama

Advertisement