Anda di sini

Prestasi mySIKAP dijangka capai 100 peratus Julai ini

Advertisement

JOHOR BAHARU: Prestasi perkhidmatan sistem pengkomputeran mySIKAP di kaunter urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka mencapai tahap 100 peratus Julai ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sejak minggu ketiga bulan lepas, prestasi sistem itu mencapai tahap melebihi 90 peratus.

“Kita masih lagi melakukan talaan halus dan ia tidak lagi tersangkut seperti dulu sehingga menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu berjam-jam lamanya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurusan pertama jabatan itu bagi tahun ini di sini semalam.

Beliau berkata satu pasukan khas akan memantau sistem itu bagi melihat perkara yang boleh ditambah baik.

Katanya, proses peralihan daripada sistem manual kepada sistem SIKAP pada 1992 memakan masa dua tahun untuk siap sepenuhnya.

MySIKAP yang diperkenal November lepas mempertingkat urus niaga dalam talian JPJ kepada 85 peratus berbanding hanya 30 peratus semasa penggunaan sistem SIKAP.

Menjawab soalan pemberita, Ismail berkata perolehan daripada penjualan nombor pendaftaran kenderaan oleh JPJ pada 2013 ialah sebanyak RM360 juta dan dijangka mencapai RM400 juta tahun ini.

Beliau turut mengumumkan penambahbaikan pakaian seragam anggota dan pegawai JPJ.

Bagi pakaian seragam pejabat, logo JPJ sedia ada di sebelah kiri dialih ke sebelah kanan bagi membolehkan pemakaian reben perkhidmatan pada sebelah kiri seragam itu sebagai menghargai perkhidmatan anggota dan pegawai JPJ.

Pakaian seragam pejabat tidak lagi diguna bagi tujuan operasi dan akan diganti dengan pakaian medan untuk memberi keselesaan kepada anggota serta pegawai JPJ ketika melakukan operasi.

Ismail juga berkata anggota dan pegawai JPJ akan memakai pakaian istiadat jabatan itu pada majlis rasmi atau pengurniaan pingat. — Bernama

Advertisement