Anda di sini

Penyertaan Larian Jubilee Park Health Marathon masih dibuka

Advertisement

SIBU: Penyertaan Larian Jubilee Park Sarawak Health Marathon 2014 anjuran Kelab Sukan Marathon Ekstrem (KSME) dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) kini masih dibuka kepada orang ramai sehingga 28 April depan.

Pengerusi KSME, Tang Kah Seng berkata, orang ramai boleh mendapatkan borang penyertaan di Sibu Marathon Club c/o Chai Lai, No.35 Jalan Sanyan, jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan borang penyertaan di pentas utama Dataran Bandar Sibu Fasa I, bermula 1 Mac hingga 28 April dari jam 4 petang hingga 6 petang,” katanya di sini semalam.

Katanya, maraton yang diadakan di Sibu Jubilee Park pada 4 Mei depan terbahagi kepada kategori lelaki dan wanita terbuka, lelaki veteran, lelaki dan wanita junior dan lelaki dan wanita fun-run.

“Masa kelayakan bagi kategori lelaki dan wanita terbuka dan lelaki veteran melibatkan jarak larian sejauh 21 kilometer adalah tiga jam dan acara dijadualkan bermula jam 6.30 pagi,” ujarnya.

Masa kelayakan bagi kategori lelaki junior dan lelaki fun-run melibatkan jarak larian sejauh tujuh kilometer pula adalah sejam dan acara dijadualkan bermula jam 6.40 pagi.

“Manakala masa kelayakan bagi kategori wanita junior dan wanita fun-run melibatkan jarak larian sejauh 2.5 kilometer adalah 40 minit,” jelasnya.

Juara kategori lelaki dan wanita terbuka, lelaki veteran bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM900, naib johan (RM750), tempat ketiga (RM600). Semua pemenang turut mendapat trofi setiap seorang.

Bagi kategori lelaki dan wanita fun-run, johan akan mendapat hadiah wang tunai bernilai RM120, naib johan (RM100), tempat ketiga (RM80). Semua pemenang akan mendapat trofi setiap seorang.

Mereka yang berjaya menamatkan larian bagi kategori lelaki dan wanita terbuka, lelaki veteran, lelaki dan wanita fun-run turut akan mendapat medal dan sijil penyertaan.

Juara kategori lelaki junior bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM300, naib johan (RM250), tempat ketiga (RM220). Semua pemenang mendapat trofi setiap seorang.

Bagi kategori wanita junior, juara mendapat hadiah wang tunai bernilai RM200, naib juara (RM180), tempat ketiga (RM160). Kesemua pemenang turut mendapat trofi setiap seorang.

Yuran penyertaan adalah RM20 bagi kategori lelaki dan wanita terbuka, lelaki veteran dan lelaki dan wanita fun- run serta RM10 bagi kategori lelaki dan wanita junior.

Selain itu, penganjur menyediakan hadiah wang tunai RM300 kepada pemenang pertama cabutan bertuah, tempat kedua hingga ke-11 mendapat hadiah wang tunai RM100 dan tempat ke-12 hingga ke-21 mendapat RM50 setiap seorang.

Sehingga kini, Tang memberitahu pihaknya menerima sebanyak 388 penyertaan dan penganjur akan memberikan kemeja T percuma kepada 800 peserta pertama mendaftar.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Tang di talian 019-8181129, Joseph Tang (Sibu) 019-8178232, Ngui Kiong (Kuching) 012-8881261, Wong Siew Ming (Miri) 019-8354321 dan Sarkawi Adenan (Bintulu) 011-29978867.

Advertisement