Anda di sini

Pasukan Renang Kuching pamer prestasi hebat

Advertisement

KUCHING: Pasukan Renang Kuching mempamerkan prestasi hebat pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Sarawak Ke-41 di Kolam Renang Bukit Lima, Sibu.

Dengan diperkuatkan 38 perenang dari Persatuan Renang Amatur Kuching (KASA) 2010 dan Sarawak Club, pasukan itu memunggut 38 pingat emas, 36 perak dan 27 gangsa.

Pasukan tersebut berada pada kedudukan kedua selepas Persatuan Renang Amatur Kota Samarahan (KOTAS) meraih 67 emas, 37 perak dan 30 gangsa.

Ketua jurulatih pasukan, Anthony Kong bangga dengan prestasi perenangnya terutama beraksi dalam Kumpulan C dan D.

“Biarpun kita tidak memberi cabaran kuat dalam kumpulan umur lain, perenang kita dalam Kumpulan C dan D beraksi seperti yang diharapkan,” katanya.

Kong berkata, enam perenang KASA 2010 layak menyertai Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan di Pusat Akuatik Bukit Jalil bermula 11 hingga 13 April depan.

Mereka terdiri daripada Zachary Tan, Rhona Lai, Adrian Chua, Mandy Teo, Natasha Teo dan Zia Tan.

Advertisement