Anda di sini

Liga Petronas Bintulu: Juara bertahan mula langkah kanan

SEPAK MULA: Duke menyempurnakan sepak mula kejohanan Liga Petronas Bintulu Edisi Ke-20 di Stadium Mini Bintulu petang kelmarin.

BINTULU: Juara bertahan, skuad Suai Sebatu Bersatu memulakan langkah kanan apabila menundukkan BPJ FC dengan kemenangan tipis 1-0 pada perlawanan pembukaan Liga Petronas Bintulu Edisi Ke-20 di Stadium Mini Bintulu, petang kelmarin.

Jaringan sulung Suai Sebatu Bersatu diledakkan oleh Mohd Zulhili Razali pada minit ke-80 setelah kedua-dua pasukan yang saling berbalas asakan kebuntuan jaringan pada minit-minit awal perlawanan.

Babak pertama menyaksikan beberapa gerakan kedua-dua pasukan membuat jaringan namun tidak menepati sentuhan penyudah.

Dalam pada itu, enam pasukan lain yang turut menyertai liga itu ialah APMM, PDRM, MLNG Petronas, Jepak United, Ajai Manai dan Project Park A.

Perasmian sepak mula kejohanan disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA), Duke Janteng yang mewakili pengurusan Petronas.

Turut hadir Pesuruhjaya Sukan Sarawak Lamat Nyalau, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu Daniel Batin, Naib Presiden BiFA merangkap pengerusi pertandingan, Ibrahim Tahir dan Setiausaha Kehormat BiFA, Mohd Zaifulfadillah Junaidi.