Anda di sini

Jasa guru amat dihargai,tidak dilupakan

Advertisement

JAMUAN: Guru-guru SK Tatau bersama Janudin, Luta (duduk, tengah), Roslan (tiga kiri) serta AJK PIBG pada Majlis Makan Malam Perpisahan di Bintulu.

Guru bertugas di pejabat pendidikan turut majukan pendidikan seperti guru sekolah

BINTULU: Jasa guru dalam meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum di sekolah amat dihargai dan tidak dilupakan meskipun mereka telah menyandang jawatan lain di pejabat pendidikan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau Janudin Ab Rahman berkata guru dipanggil bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah harus berasa bangga atas kepercayaan diberikan kerana mereka sebahagian daripada orang penting yang membantu memajukan bidang pendidikan seperti guru yang mengajar di sekolah.

Justeru, sokongan mereka daripada pejabat pendidikan sesebuah daerah amat penting bagi sekolah-sekolah memajukan bidang akademik dan kokurikulum.

“Tanggungjawab bidang pendidikan amat penting, justeru bukan sahaja sokongan pihak pejabat pendidikan malah komitmen amat diperlukan daripada seorang pendidik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Perpisahan untuk guru-guru dan bekas ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tatau, di sini malam kelmarin.

Menurutnya, pendidik perlu melaksanakan tanggungjawabnya mendidik anak-anak bangsa dengan sebaik mungkin.

Sementara itu bekas Guru Besar SK Tatau Roslan Rosli berkata tidak kira di mana pun tempat bertugas sama ada sebagai guru di sekolah mahupun di pejabat pendidikan daerah, seseorang guru perlu menganggap dirinya sebagai seorang pendidik.

Roslan berkata, beliau berharap dapat membantu memajukan akademik, kokurikulum dan pengurusan organisasi apabila bertugas di pejabat pendidikan daerah.

“Saya juga meminta maaf sekiranya sebelum ini ada menyinggung perasaan pihak tertentu sepanjang  saya dipertanggunjawabkan mentadbir SK Tatau,” katanya.

Selain itu, beliau berterima kasih kepada guru-guru SK Tatau atas kerjasama diberikan dalam membantu dan memajukan bidang akademik dan kokurikulum di sekolah itu.

Roslan berpindah tugas ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dengan menyandang jawatan penolong penyelia Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Manakala Gilong Telasa dan Thian Khian Niam masing-masing akan bertugas di PPD Tatau dengan menyandang jawatan Fasilinus Bahasa Inggeris dan Pegawai Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+).

SK Tatau turut memberi penghargaan kepada bekas Yang Dipertua dan Bendahari PIBG SK Tatau Stephen Kanang Sait dan Mohd Rizal Julaihi.

Majlis bertemakan ‘Jasamu Dikenang’ itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim kalangan warga pendidik SK Tatau.

Hadir sama Pegawai Literasi dan Numerasi (LINUS) PPD Tatau yang mewakili Pegawai PPD Tatau Luta Bigam.

Turut diadakan cabutan bertuah dan persembahan karaoke oleh guru-guru sekolah terbabit.

Advertisement