Anda di sini

England ungguli Futsal MGB Zon Pantu

KAMI MENANG: Skuad naib juara bagi kategori lelaki dan wanita iaitu Brazil dan Sarawak pada pertandingan itu.

Meraih 10 mata sekali gus mencatat tiga kemenangan dalam saingan liga

SRI AMAN: Skuad England mengungguli kategori lelaki bagi Kejohanan Futsal anjuran Majlis Guru Besar (MGB) Zon Pantu di Stadium Tertutup Sri Aman.

Pertandingan melibatkan guru-guru dan kakitangan awam dari 11 buah sekolah rendah di bawah pentadbiran MGB Zon Pantu itu menyaksikan England mencatat tiga kemenangan dalam perlawanan liga pertandingan tersebut.

Mereka membelasah Brazil menerusi jaringan 5-2, Sepanyol 4-2 dan Jerman 4-1 sebelum keputusan seri pasukan Itali dengan keputusan 3-3.

Skuad Brazil pula muncul naib juara setelah meraih sembilan mata menewaskan Sepanyol menerusi jaringan 5-3, Jerman 7-3 dan Itali 7-3 sebelum kecundang di tangan England dengan jaringan 2-5.

Kedudukan tempat ketiga dimenangi skuad Sepanyol setelah meraih enam mata hasil kemenangan terhadap Jerman (4-1) dan Itali (3-2).

Skuad Itali meraih kedudukan keempat bagi kategori tersebut setelah menewaskan Jerman 4-2 dan seri 3-3 dengan England.

Sementara itu, Jerman menduduki tangga tercorot apabila tewas semua empat perlawanan dalam saingan liga.

Bagi kategori wanita pula, menyaksikan skuad Perak muncul juara setelah berjaya menewaskan Sarawak dengan jaringan 1-0, Pahang 2-0 dan Johor 1-0.

Skuad Sarawak muncul naib juara setelah meraih empat mata hasil kemenangan terhadap Johor (1-0) dan seri terhadap Pahang (2-2).

Manakala pasukan Johor muncul pemenang tempat ketiga hanya menerusi kemenangan terhadap Pahang 1-0.

Skuad Pahang menduduki tangga tercorot setelah mencatat hanya satu keputusan seri iaitu 2-2 terhadap Sarawak dan tewas dalam dua perlawanan.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis menyempurnakan sepak mula pertandingan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada MGB Zon Pantu untuk menyokong aktiviti sukan zon sekolah itu.

Turut hadir Pengerusi MGB Zon Pantu Wan Naruddin Wan Jaafar, Timbalannya, Mohd Tony Abdullah dan pengerusi pengelola, Alfred Kendim.