Anda di sini

BN letak calon MCA di Kajang hormati konsep perkongsian kuasa: Ahmad

Advertisement

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) meletakkan calon MCA bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Selangor kerana menghormati konsep perkongsian kuasa, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata meskipun menerima desakan supaya meletakkan calon Melayu di kawasan itu, namun BN tetap menghormati konsep yang menjadi pegangan BN selama ini.

Menurutnya ini berbeza dengan pakatan pembangkang yang disifatkan sebagai tidak menghormati konsep perkongsian kuasa dengan meletakkan calon Melayu meskipun sebilangan besar penduduk di kawasan itu berketurunan Cina.

“Hak mereka (masyarakat Cina) untuk diwakili di mana? Tiada. Hari itu ada Lee Chin Cheh sebagai wakil rakyat, tetapi (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim sudah suruh dia letak jawatan. Dia (Anwar) pula hendak tempat itu,” katanya ketika mengulas mengenai persiapan BN menghadapi PRK DUN Kajang dijadual 23 Mac. Penamaan calon ditetapkan 11 Mac.

Bagi PRK DUN Kajang, BN bakal menurunkan calon MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang merupakan Naib Presiden MCA dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala pakatan pembangkang menamakan Anwar.

DUN Kajang mempunyai 39,378 pemilih berdaftar iaitu 48 peratus pengundi Melayu, pengundi Cina (40 peratus), pengundi India (10 peratus) dan 2 peratus pengundi kaum-kaum lain.

Kira-kira 50 peratus daripada jumlah pengundi adalah wanita.

Ahmad turut memberi contoh PRK Parlimen Hulu Selangor pada 2010 apabila BN meletakkan calon MIC P. Kamalanathan meskipun didesak menurunkan calon UMNO bagi menentang calon pakatan pembangkang Datuk Zaid Ibrahim.

“(Tetapi) kita menghargai konsep kongsi kuasa dan letak P. Kamalanathan sebagai calon dan beliau menang. Ini kerana rakyat (di kawasan itu) memahami yang BN lebih adil dalam memberi hak-hak kepada kaum lain untuk dijadikan ketua.

“Jadi saya harap, dengan ini kaum Cina terutamanya di DUN Kajang memahami betapa BN lebih adil untuk mereka,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata Chew merupakan calon yang digeruni lawan disebabkan berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan politik dan mampu menyumbangkan jasanya sepenuh masa berbanding Anwar yang ternyata lebih sibuk sebagai Ketua Pembangkang dan anggota Parlimen PermatangPauh.

Terdahulu, Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada penduduk kawasan Parlimen itu. — Bernama

Advertisement