Anda di sini

Anugerah tokoh siswa diperluas ke IPTS, institusi lain tahun depan

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Anugerah Tokoh Siswa akan diperluaskan kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru mulai tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata kementerian sebelum ini menganjurkan anugerah itu untuk institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi melahirkan siswa yang lebih menyeluruh dan hebat baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Idris berkata demikian pada majlis Anugerah Tokoh Siswa 2013 anjuran Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Jabatan Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku tuan rumah di UMT di sini semalam.

Beliau berkata anugerah yang julung kali diadakan itu merupakan anugerah yang baik, ditunggu-tunggu dan harus diteruskan pada masa akan datang.

Pada majlis itu, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Fikri Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Siswa dengan memenangi Anugerah Menteri Pendidikan 2013 yang membawa pulang hadiah RM5,000 dan piala iringan.

Pelajar jurusan Perakaunan Islam itu turut memenangi anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa dengan membawa pulang RM1,000.

Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ju Ariana Ibrahim, 23,memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Pemimpin Siswa dengan menerima RM1,500 dan piala iringan dan Anugerah Pemimpin Harapan yang menawarkan hadiah  RM1,000.

Muhammad Fikir ketika ditemui berkata beliau akan terus giat melakukan kerja sukarela kerana baginya mahasiswa harus keluar bertemu masyarakat dan bukan sekadar pergi kuliah.

“Ini kerana segala ilmu yang diperolehi akhirnya adalah untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya yang banyak menyertai aktiviti kemasyarakatan global termasuk di Vietnam, China dan  Indonesia.

Ju Ariana, yang sedang mengikuti kursus Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian pula berkata anugerah yang dimenanginya dapat menaikkan nama UniSZA sebagai sebuah daripada universiti terbaik di negara ini. — Bernama

Advertisement