Anda di sini

Tubuh bayi melecur akibat alahan ubat

Advertisement

ALOR SETAR: Seorang bayi berusia lapan bulan terpaksa menanggung kesakitan apabila badannya melecur selepas mengalami alahan terhadap ubat diberi sebuah klinik swasta di sini.

Bapa bayi, Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, berkata badan anaknya Muhammad Nasrullah mula melecur dan bertukar kehitaman selepas beberapa hari menggunakan ubat makan dan sapu diberikan klinik berkenaan ketika mendapatkan rawatan bagi ruam dihidapi anaknya pada 16 Feb.

“Dua hari kemudian, badan anak saya membengkak dan bertompok kemerah-merahan…selepas melihat keadaan semakin teruk, saya bawa dia ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 25 Feb untuk diperiksa,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Stadium di sini petang kelmarin.

Khairul Nizam berkata doktor pakar HSB mengesahkan anaknya mengalami alahan serius terhadap ubat-ubatan yang diterima dan telah dimasukkan ke wad selama tiga hari untuk rawatan.

“Saya telah diminta untuk membawa semua ubat yang diterima oleh doktor di HSB untuk diuji dan saya kemudiannya diberitahu bahawa anak saya mengalami penyakit alahan dan tidak boleh diberikan sebarang ubat,” katanya.

Khairul Nizam berkata dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi membolehkan siasatan dibuat.

“Saya bukan nak menyaman klinik atau doktor yang merawat anak saya tetapi saya hanya ingin pihak polis menjalankan siasatan bagi membolehkan nasib anaksulung saya terbela,” katanya.

Ibu bayi, Nur Shazira Mohd Salleh, 23, berkata dia sangat sedih dengan kejadian yang berlaku dan berharap akan pulih dengan cepat kerana badan anaknyamasih mengelupas dan sentiasa menangis kesakitan. — Bernama

Advertisement