Anda di sini

Tentera Darat akan pelihara wilayah, kedaulatan negara

Advertisement

KUCHING: Anggota Tentera Darat akan sentiasa mempertahankan keutuhan wilayah dan kedaulatan negara serta kepentingannya dengan menyediakan sebuah angkatan yang mampu bertindak dan beroperasi dalam setiap jenis spektrum peperangan.

Justeru, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor berkata, terdapat peningkatan keupayaan mobiliti dan kuasa tembakan yang dibuat pihaknya.

“Tentera Darat telah membuat perolehan kenderaan perisai sebanyak 257 buah ke dalam perkhidmatan yang akan diterima secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini.

“Manakala aset yang sedia ada akan diprogramkan pemugarannya,” ujarnya dalam perutusan sempena Acara Ulang Tahun Tentera Darat Ke-81 di sini, semalam.

Perutusan beliau dibacakan oleh Panglima Briged Ketiga Infantri Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami mewakili Panglima Pemerintah Wilayah Timur Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar semalam.

Raja Mohamed Affandi berkata, Tentera Darat juga merancang untuk mempertingkatkan keupayaan dan sistem komunikasinya melalui perolehan alat komunikasi pada tahun ini dan tahun depan.

“Sistem ketenteraan masa hadapan juga diolah kerana ia adalah pendekatan terbaik yang dapat diberi untuk menentukan keupayaan anggota atau perisian tentera darat berada di tahap yang terbaik dan ‘Trilogy Man,’ ‘Machine and Method’ dapat dipergunakan sepenuhnya,” katanya sambil menjelaskan, kerjasama dengan industri pertahanan secara berterusan bakal menentukan rancangan Tentera Darat direalisasikan sepenuhnya.

Sementara itu, ketika menyentuh kebajikan warga anggota Tentera Darat, beliau menjelaskan keselesaan bekerja dan kualiti hidup warganya amat dititikberatkan.

Katanya, pihaknya meneruskan projek pembangunan kem-kem di bawah projek ‘Army Care’ dan pembangunan rumah keluarga anggota.

Sejak dilancarkan pada 2009, jelasnya, pihaknya berjaya menyiapkan rumah di empat buah kem, manakala tujuh buah kem masih dalam pembinaan.

“Sepuluh buah kem lagi telah dikenal pasti untuk dibangunkan dalam masa terdekat.

“Walaupun terdapat kekangan peruntukan kewangan, sebahagian daripada program pembangunan infrastruktur telah berjaya dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta.

“Pihak ATM akan sentiasa melihat dari segala segi dan ruang yang ada untuk membolehkan tahap keselesaan bekerja dan kualiti hidup warga tentera dipelihara,” tambahnya juga.

Majlis semalam disertai 27 Pegawai dan 504 anggota ATM pelbagai pangkat.

Mohd Nazir turut menyerahkan sijil penghargaan kepada lima anggota tentera dan tiga orang awam atas perkhidmatan cemerlang mereka.

Advertisement