Anda di sini

Pengusaha sawit digalak sertai koperasi

Advertisement

SELANGAU: Pengusaha ladang kelapa sawit kecil-kecilan kawasan Selangau adalah digalakkan menyertai Koperasi Pekebun Kecil Sawit Mampan (KPSM) Daerah Selangau Sibu Berhad berperanan membantu mereka meningkatkan taraf sosioekonomi.

Kaunselor Matthew Ganggang berkata, penglibatan pengusaha ladang kelapa sawit kecil-kecilan dalam KPSM penting bagi merealisasikan matlamat membantu mengusahakan penanaman kelapa sawit secara komersil.

“Pembangunan penanaman kelapa sawit merupakan salah satu daripada transformasi dilakukan kerajaan membantu menjana pendapatan lumayan kepada penduduk di kawasan luar bandar.

“Maka, pentingnya semua pihak khususnya pengusaha ladang kelapa sawit kecil-kecilan memberi kerjasama dengan menyertai koperasi membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Datuk Joseph Mauh Ikeh merasmikan Pusat Pembelian Buah Sawit (FFB) Sejati Nursery Sdn Bhd di Batu 58 1/2, Jalan Sibu-Bintulu, Selangau semalam.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Chumang Nyambong, Pengurus Sejati Nursery Sdn Bhd Chin Kim Sang, Pemanca Robert Nanta, Penghulu Thomas Jawa, Kaunselor Dr Ali Puji dan ketua-ketua kaum.

Katanya, penyertaan pengusaha ladang kelapa sawit kecil-kecilan turut menyumbang kepada pembangunan pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar dan seterusnya memajukan negera dengan industri kelapa sawit.

“Oleh itu, saya berharap pengusaha ladang kelapa sawit kecil-kecilan mendaftar menjadi ahli koperasi KPSM dengan bayaran yuran masuk keahlian sebanyak RM25 serta minimum seunit syer saham dengan nilai RM100 seunit.

“Pemohon juga perlu memiliki lesen penjualan buah sawit yang sah dari Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) dan memiliki tanaman sawit tidak melebihi 100 ekar,” ujarnya.

Koperasi Pekebun Kecil Sawit Mampan (KPSM) Daerah Selangau Sibu Berhad ditubuhkan pada 5 Mei 2012 dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Selangau, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Tujuan penubuhan koperasi tersebut merealisasikan penanam sawit mampan di Selangau khasnya serta menyelesaikan masalah penjualan buah tandan segar (BTS) selain menangani masalah kos input pertanian semakin meningkat.

Koperasi juga berperanan menyediakan perkhidmatan skim tanam baharu dan skim tanam semula melalui kerjasama Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB).

Penghulu Jeranpang Ratoh dipilih sebagai pengerusi KPSM dan Peter Unan Ima dilantik sebagai setiausaha dan Kaunselor Matthew Ganggang Ngumbang dipilih bendahari.

Advertisement