Anda di sini

Pengurusan resort mengecewakan

Advertisement

KECEWA: Pasangan berkenaan semasa bercakap dengan wartawan
sebelum berjumpa dengan pegawai penyiasat di Balai Polis Simpang Tiga semalam.

KUCHING: Sepasang suami isteri warganegara Kana­da semalam melahirkan kekecewaan mereka ter­hadap pengurusan sebuah pusat peranginan di sini kerana mendakwa meman­dang ringan kes kecurian yang menimpa mereka ke­tika menginap di resort berkenaan, baru-baru ini.

Pasangan tersebut iaitu David dan Annie memberita­hu, insiden berlaku pada Isnin lepas ketika dia dan isterinya sedang mandi di kolam renang resort berkenaan sekitar jam 5.15 petang.

Menurutnya, sebaik sahaja pulang dari kolam renang tersebut, mereka menyedari wang tunai sebanyak RM850 telah hilang dari dalam beg yang disimpan di dalam bilik tempat mereka menginap.

“Kami pergi ke kolam re­nang sekitar jam 5.15 petang dan kembali semula ke bilik pada jam 6.30 petang sebe­lum menyedari wang tunai sebanyak RM850 telah hilang dari dalam beg kami,” kata Annie.

Justeru, pasangan tersebut mengesyaki pencuri yang memasuki bilik mereka se­mestinya mempunyai kunci pendua kerana tiada kesan ker­osakan pada pintu bilik, malah hanya mengambil sejumlah kecil daripada wang yang ada di dalam beg mereka.

Mereka kemudian terus melaporkan perkara itu kepa­da pihak pengurusan namun dinasihatkan agar tidak mem­buat laporan polis sementara siasatan dilakukan oleh pihak resort berkenaan.

“Pada awalnya, pihak pen­gurusan mengaku mungkin ada individu yang menggu­nakan kunci pendua untuk memasuki bilik kami dan meminta kami merahsiakan perkara tersebut, sementara mereka melakukan siasatan.

“Bagaimanapun, kami ke­mudian diberitahu bahawa mereka tidak mengetahui siapa yang melakukannya, sedangkan resort berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV),” kata David dengan nada kecewa apabila pihak pengurusan enggan melayan mereka lagi selepas itu.

Kedua-dua pasangan terse­but kemudian membuat lapo­ran polis berhubung kejadian pada hari Rabu yang lepas dan masih menunggu perkem­bangan mengenai kes itu.

Selain itu, mereka juga telah melantik seorang peguam un­tuk mengikuti perkembangan kes tersebut kerana mereka dijadualkan pulang ke negara asal pada hari ini.

“Ini bukan berkenaan dengan wang, tetapi men­genai layanan yang diberi­kan oleh pihak pengurusan resort tersebut yang enggan menyelesaikan masalah yang berpunca daripada mereka sendiri.

“Insiden ini sangat mero­sakkan percutian kami dan kami tidak mahu kes seperti akan berulang dan menimpa orang lain pada masa akan datang,” kata David.

Difahamkan, pada hari yang sama, seorang wanita warga asing turut membuat laporan polis berhubung ke­hilangan cincin berlian diang­garkan bernilai RM50,000 di resort yang sama.

 

Advertisement