Anda di sini

Kos haji kekal RM9,980 walaupun kos sebenar RM16,115

Advertisement

YAN: Kos menunaikan ibadah haji pada tahun ini kekal  RM9,980 walaupun kos sebenar telah meningkat kepada RM16,115 seorang berbanding RM15,575 tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata walaupun berlaku peningkatan kos, kerajaan mengambil langkah untuk tidak menaikkan kos sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

“Setiap tahun akan ada kos tambahan melibatkan tempat penginapan, pengangkutan, penerbangan pergi balik dari Malaysia ke Arab Saudi dan kos mutawif tapi harga masih dikekalkan demi membantu jemaah haji.

“Walaupun kos rendah, kita pastikan perkhidmatan diberikan pada tahap terbaik. Kita mahu kekalkan nilai perkhidmatan dan kualiti kepada jemaah haji Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 kepada 6,000 penerima kawasan Parlimen Jerai, di sini semalam.

Jamil Khir berkata beliau akan ke Jeddah Rabu ini untuk menghadiri mesyuarat mengenai persiapan musim haji akan datang bersama kerajaan Arab Saudi. — Bernama

Advertisement