KUCHING: Gabungan kepimpinan cemerlang Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka membawa negeri ini ke suatu tahap baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyifatkan pemilihan Adenan menggantikan Taib berkuat kuasa Jumaat lalu sebagai pilihan paling baik.
Katanya, pengalaman luas yang dimiliki Taib dan Adenan pasti membawa Sarawak ke arah kecemerlangan.
“Tahniah diucapkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan dan Tuan Yang Terutama (TYT) Pehin Sri Taib.
“Selaku ADUN Demak Laut, saya dan rakyat di DUN saya berasa sungguh bangga kerana kedua-dua pemimpin ini pernah menjadi ADUN bagi Demak Laut.
“Melalui sejarah pentadbiran mereka di Demak Laut, pelbagai pembangunan telah dikecapi rakyat yang mana dari sebuah pekan nelayan menjadi kawasan perindustrian berjaya hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Justeru, Dr Hazland melahirkan keyakinan terhadap Adenan dalam meneruskan perjuangan Taib untuk memajukan negeri ini tanpa satupun pihak ditinggalkan.
Sementara itu, ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam menyambut baik dan memberi sokongan penuh kepada Adenan dan Taib.
“Secara peribadi dan bagi pihak seluruh rakyat di kawasan DUN Saribas, saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Adenan dan Pehin Sri di atas pelantikan mereka berdua.
“Kita mempunyai keyakinan tinggi terhadap seorang pemimpin berkebolehan, dan kita yakin Ketua Menteri baharu akan meneruskan apa yang ditinggalkan dan legasi (Taib),” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB berkata, Adenan merupakan seorang pemimpin yang mampu membawa Sarawak maju ke hadapan melalui pengalamannya di peringkat persekutuan serta memegang banyak jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Bukan hanya di bandar, malah di luar bandar dan Sarawak secara keseluruhannya diharap tidak ketinggalan dalam menikmati pembangunan di bawah pimpinan beliau,” katanya.