Anda di sini

Chin harap Adenan akan bantu selesai konflik dalaman SUPP

Advertisement

KUCHING: Presiden Parti Rak­yat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin berharap Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem akan membantu menyelesaikan konflik dalaman yang sedang dihadapi oleh parti itu.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Chin berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri untuk membincangkan kaedah terbaik dalam menyelesaikan krisis terse­but yang semakin meruncing.

“Beliau telah membayangkan akan bertemu dengan saya dan saya akan bertemu dengan beliau bagi membincangkan perkara ini,” ujarnya selepas Istiadat Angkat Sumpah Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam.

Ditanya bila perjumpaan terse­but akan diadakan bersama Ade­nan, Chin berkata tiada sebarang tarikh ditetapkan buat masa ini tetapi tidak menolak ia mungkin dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Chin turut percaya di bawah kepimpinan Adenan, semua parti komponen BN akan diberikan peluang untuk bekerja bersama beliau.

“Saya yakin Adenan akan memberi peluang kepada semua parti komponen untuk bekerja bersama beliau dan membantu menyelesaikan apa jua masalah yang dihadapi oleh parti-parti komponen BN.

“Masalah yang dihadapi oleh SUPP tidak hanya ditanggung oleh SUPP tetapi turut memerlu­kan seseorang dari luar terutama seperti Ketua Menteri untuk menyatukan parti dan mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Chin turut menjamin sokon­gan kepada Adenan untuk terus memimpin Sarawak ke arah me­realisasikan visi negeri maju.

“Saya yakin beliau adalah pem­impin yang amat berpengalaman dan akan memimpin Sarawak ke arah negeri maju seperti negeri-negeri lain di Malaysia.

“Malah, saya juga yakin beliau mampu mencapai visi tersebut dengan sokongan daripada semua parti-parti komponen.

“Sama seperti parti kompo­nen yang lain, kami juga seba­hagian daripada BN dan akan menyokong kepimpinan beliau dan memperkukuhkan kedudu­kan kami sebagai parti komponen BN,” ujarnya.

Advertisement