Anda di sini

Calon tempatan, isu harga ‘senjata’ PKR

Advertisement

KUCHING: Menampilkan calon tempatan, isu harga barang naik antara ‘senjata’ yang akan diguna pakai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak untuk memikat hati rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian nanti.

Pengerusi PKR Negeri Baru Bian berkata, isu itu antara perkara yang terkandung dalam Manifesto PKR untuk PRK itu kelak.

Meskipun menyedari DUN Balingian kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun beliau menegaskan ia tidak mematahkan semangat PKR untuk menawan kerusi itu.

“Kita akui bahawa kita ‘underdog’ di Balingian yang merupakan kubu kuat BN, tetapi ia tidak mematahkan semangat kita untuk bertanding di kerusi itu kerana apa-apa boleh berlaku dalam politik.

“Keadaan ekonomi negara yang tidak menentu dengan harga barang naik yang banyak memberi kesan kepada rakyat, saya fikir ia adalah antara satu isu utama yang akan digunakan semasa berkempen pada PRK nanti. Manifesto kita akan menjelaskannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penerangan Pemilihan PKR Seluruh Malaysia di sebuah hotel di sini, semalam.

Pada masa sama, Baru memberitahu PKR telah diberi amanat oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk bertanding di kerusi itu dan pihaknya sedang menjalankan pemilihan calon yang terbaik.

“Yang Berhormat See Chee How yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil akan turun padang (ke DUN Balingian) untuk membuat penilaian dan pemilihan calon yang telah disenarai pendek.

“Kita akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding selepas kerja-kerja pemilihan terakhir dilakukan,” jelasnya.

Mempunyai keahlian kira-kira 30,000 orang di seluruh Sarawak, Baru memberitahu PKR akan memanfaatkan kekuatan itu untuk membantu kempen di kerusi itu nanti.

Menyentuh mengenai mesyuarat yang diadakan itu, Baru menjelaskan ia bagi memaklumkan kepada pemimpin cabang PKR negeri tentang Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat yang diadakan serentak di seluruh Malaysia.

“Kita ada pemilihan serentak di seluruh pusat dan cabang dari 25 April hingga 11 Mei nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Chee How ketika ditemui berkata, beliau bersama jawatankuasa itu dijangka akan melawat DUN Balingian pada 5 Mac ini.

Advertisement