Anda di sini

Suasana pilu selubungi majlis perpisahan Tun Salahuddin di Astana

Advertisement

KUCHING: Suasana pilu seketika menyelubungi hadirin di Astana Negeri pagi semalam apabila Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah menunaikan tugas mereka pada hari terakhir.

Upacara terakhir mereka di Astana penuh bersejarah itu ialah menyaksikan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas menerima surat lantikan.

Selepas upacara itu, Tun Salahuddin memeriksa perbarisan kehormat oleh Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA), Kem Batu Kawa terdiri daripada 105 pegawai dan anggota diketuai DSP Marebon Manju.

Pemeriksaan kawalan kehormat itu diiringi pancaragam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Selepas bacaan doa, Tun Salahuddin dan isteri diiringi Adenan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, barisan kabinet negeri, menteri persekutuan dan kenamaan lain, bersalaman dengan kira-kira 100 orang kakitangan Astana.

Adenan bersama Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar dan barisan kabinet negeri dan persekutuan mengiringi Tun Salahuddin meninggalkan pekarangan Astana memasuki kenderaan rasmi.

Tun Salahuddin turut mengambil kesempatan bersalaman dan bertukar-tukar ucapan selamat dengan para kakitangan Astana.

Beliau yang menjawat jawatan itu dua kali tamat tempoh perkhidmatannya semalam. Kali pertama mulai 2 April 1977 hingga 1 April 1981, dan kemudian dilantik semula pada 6 Disember 2000 hingga 28 Februari 2014.

Berketurunan Melanau, Tun Salahuddin dilahirkan pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu kepada pasangan Abang Barieng Abang Anyut dan Dayang Tamiyang Abang Masor.

Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Roman Catholic Sacred Heart ketika berusia 10 tahun sehingga menamatkan Standard 7.

Tun Salahuddin berkahwin dengan Toh Puan Dayang Umi Khalsom dan mempunyai sembilan orang anak.

Beliau kemudian berkahwin kali kedua dengan Toh Puan Norkiah pada 1996.

Tun Salahuddin memulakan kerjaya dengan menyertai perkhidmatan awam pada 1940 sebagai Pegawai Kesihatan Dalam Percubaan di Sibu dan Matu.

Tun Salahuddin pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ketiga pada 2 April 1977 selama lima tahun.

Beliau kemudiannya dilantik Pemangku Yang di-Pertua Negeri ketika Yang di-Pertua Negeri ketika itu Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamed Noor bercuti selama sebulan pada Jun 1990.

Beliau juga dilantik memangku jawatan sama pada 10 September 1999 apabila Ahmad Zaidi menjalani rawatan di Kuala Lumpur dan pada 4 Disember 2000 apabila Ahmad Zaidi meninggal dunia.

Pada 21 Feb 2001, Tun Salahuddin dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Negeri keenam dan melakar sejarah apabila memegang jawatan itu sebanyak dua kali.

Advertisement