KUCHING: Sarawak mencatat penurunan kes kemalangan dengan hanya 623 kes dicatat keseluruhannya bagi Ops Selamat 4/2014 yang dijalankan sempena Tahun Baharu Cina 2014 berbanding 757 kes pada Ops Selamat yang sama pada 2013.
Menurut Pegawai Turus Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak DSP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan media yang dikeluarkan kelmarin, Ops Selamat yang dijalankan selama 15 hari bermula 24 Januari hingga 7 Februari itu menunjukkan penurunan sebanyak 134 kes atau 17.7 peratus.
Kata beliau bagi jumlah kes kemalangan maut dan jumlah kematian juga menunjukkan penurunan pada Ops Selamat tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu selama 15 hari operasi dijalankan.
“Bagi kes kemalangan maut ia menurun sebanyak satu kes atau 8.3 peratus dan jumlah kematian menurun sebanyak dua kes atau bersamaan 15.4 peratus.
“Begitu juga jumlah kes kemalangan parah dan kemalangan ringan yang turut menunjukkan penurunan jika dibandingkan pada Ops Selamat tahun lepas, yang mana bagi kes kemalangan parah hanya tiga kes direkodkan berbanding empat kes pada 2013, iaitu penurunan sebanyak satu kes atau 25 peratus,” katanya.
Alexson memberitahu, bagi kemalangan ringan sebanyak empat kes dicatatkan pada tahun ini yang menurun satu kes atau 20 peratus berbanding Ops Selamat 2013 yang mencatat lima kes.
Tambah beliau, daripada statistik kemalangan berkenaan ia dapat dirumuskan bahawa aspek penguatkuasaan yang dijalankan oleh PDRM Kontinjen Sarawak telah menunjukkan keberkesanan.
Ia menyumbang kepada penurunan kes kemalangan, maut, parah dan ringan yang berlaku semasa Ops Selamat 2014 berbanding Ops Selamat 2013 sempena Tahun Baharu Cina 2014.
Sementara itu menjelaskan mengenai pecahan kenderaan pengguna jalan raya pada Ops Selamat 2014, Alexson berkata sebanyak 11 kes kematian dicatatkan dan daripada itu pemandu kereta antara yang paling tinggi iaitu lima kematian.
Manakala bagi kemalangan parah dan ringan masing-masing mencatat sebanyak lima kes.
“Bagi pecahan mengikut daerah pula, kemalangan maut menyaksikan daerah Miri dan Sarikei mencatat yang tertinggi iaitu masing-masing tiga kes,” katanya.
Selain itu kedua-dua daerah berkenaan turut mencatat masing-masing tiga kes bagi kematian sempena Ops Selamat 2014.
Manakala daerah Kuching, Padawan, Sri Aman, Meradong dan Serian masing-masing mencatatkan satu kes bagi setiap kemalangan maut dan kematian.
“Ops Selamat 2014 telah berjaya mencapai matlamat yang disasarkan iaitu penurunan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut dan kematian di atas jalan raya,” katanya.