Anda di sini

Kes kebakaran rumah panjang meningkat

Advertisement

TINGKATKAN PRESTASI: Anggota Balai Bomba Batu Lintang merakamkan kenangan selaku juara keseluruhan Pertandingan Kawat Kecekapan Operasi Kebombaan Zon Satu, semalam. — Gambar Jeffery Mostapha

KUCHING: Kecuaian antara faktor utama kebakaran ru­mah panjang yang dilihat semakin membimbangkan, dedah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Ma­laysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohammad.

Menurutnya, jumlah in­siden melibatkan kebakaran rumah panjang meningkat dari tempoh Januari hingga Februari tahun ini iaitu se­banyak lima kes berbanding dua kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Antara punca yang kita kenal pasti adalah kelekaan atau kecuaian manusia, mak­sudnya sewaktu menjalankan aktiviti memasak di dapur selain sistem pendawaian ele­ktrik yang lama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penangguhan Pertand­ingan Kawat Kecekapan Op­erasi Kebombaan Peringkat Zon Satu Sarawak di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini, semalam.

“Malah dalam masa tiga hari ini, sebanyak tiga kes kebakaran rumah panjang dilaporkan iaitu di Baram dan dua di Kanowit.

“Justeru, saya minta me­dia menguar-uarkan kepada penghuni rumah panjang supaya berhati-hati dan jan­gan cuai apabila membuat aktiviti memasak di dapur,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai jumlah kematian akibat ke­bakaran di negeri ini, Nor Hisham berkata, setakat Februari sebanyak empat kes kematian dicatatkan.

“Kalau tahun lepas kita ada 10 kes kematian tetapi dalam tempoh dua bulan sahaja ta­hun ini empat kes kematian dicatatkan dan ia membim­bangkan kita,” jelasnya.

Ditanya sama ada men­gambil langkah mewujudkan Bomba Sukarela di kawasan rumah panjang, beliau mem­beritahu ia bergantung kepada keperluan di sesuatu kawasan rumah panjang.

Jelasnya, sekiranya di ses­uatu kawasan itu mempunyai lebih daripada dua rumah panjang keperluan untuk mewujudkan pasukan su­karela itu ada.

“Pada masa sama, kita mengadakan banyak program melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di ru­mah panjang yang bertindak sebagai pasukan pertama sekiranya terjadi kebakaran,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kerugian yang dicatatkan akibat kebakaran rumah pan­jang di Sarawak pada tahun lalu, Nor Hisham berkata, taksiran kerugian mening­kat kepada RM23,726,215 berbanding RM15,776,288 pada 2012.

“Terdapat peningkatan 50.4 peratus taksiran kerugian yang dicatatkan tahun lepas melibatkan kebakaran rumah panjang ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata JBPM Sarawak menyasarkan penca­paian penilaian fizikal anggota sebanyak 70 peratus menje­lang Disember tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini pencapaian penilaian fizikal baharu yang diadaptasi dari­pada skema peringkat antara­bangsa pada Januari lalu hanya pada 38 peratus yang lulus daripada 1,100 anggota di seluruh Sarawak.

“Kita mempunyai ang­gota seramai 1,100 orang di seluruh Sarawak, namun dalam penilaian fizikal dengan skema baharu kadar kelulusan hanya 38 peratus.

“Kita tidak katakan bahawa ia adalah kemerosotan yang mendesak kerana pertama kali kita perkenalkan skema ini tetapi kita akan memas­tikan supaya sebelum Jun nanti kita capai 50 peratus lulus dan penghujung Disem­ber ini kita capai 70 peratus,” jelasnya.

Katanya lagi, pihak JBPM Sarawak telah memperkenal­kan satu penilaian fizikal iaitu penilaian fizikal individu yang diadaptasi dan diguna pakai di peringkat antarabangsa.

“Maka itu, diwajibkan setiap anggota kita menjalani penilaian ini dua kali dalam setahun,” tambahnya.

Pada masa sama Nor Hisham memberitahu satu daripada penekanan yang diambil bagi memastikan sas­aran itu dapat dicapai adalah penganjuran pertandingan kawat kecekapan operasi kebombaan di setiap zon di negeri ini.

“Tempoh persaraan ang­gota kita telah dilanjutkan kepada 60 tahun dan kita perlu buat persiapan awal supaya kesemua anggota ber­siap sedia dari segi kesihatan, kemahiran dan fizikal selaras dengan umur.

“Jadi ada pendekatan den­gan menganjurkan pertandin­gan seperti hari ini (semalam) dimulakan dengan Zon Satu dan seterusnya sampai Zon Tujuh,” jelasnya.

Selain itu, beliau mem­beritahu JBPM Sarawak kini di kedudukan ketiga terbaik di seluruh Malaysia dalam pertandingan kawat kecekapan operasi kebom­baan peringkat kebangsaan.

“Kita di antara tiga terbaik di Malaysia dan untuk itu kita cuba kekalkan prestasi ini,” ujarnya.

 

Advertisement