Anda di sini

JLKN teliti modul PLKN kembangkan peranan bekas pelatih dalam masyarakat

Advertisement

MIRI: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedang meneliti modul dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi mengembangkan peranan bekas pelatihnya dalam masyarakat selain menaikkan semangat patriotisme.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata peranan yang dimainkan bekas pelatih PLKN itu akan diberikan keutamaan dalam modul baharu.

“Antara modul baharu ialah ‘Inspirasi Ops Daulat Lahad Datu’ sebagai penyuntik semangat patriotisme kalangan generasi muda yang mulai diperkenalkan pada Januari tahun ini.

“Modul berinspirasikan pengorbanan pasukan keselamatan dalam menghadapi pengganas Sulu di Lahad Datu dilaksanakan di semua kem PLKN seluruh negara bermula Januari depan,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke Kem PLKN Miri, Sungai Rait semalam.

Beliau berkata, kejadian di Lahad Datu itu mendapat perhatian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu golongan belia disedarkan betapa pentingnya menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

“Selain itu, Hishammuddin telah mengarahkan JLKN bagi mengaktifkan bekas pelatih-pelatih dalam program kemasyarakatan seperti program kesukarelawan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau JLKN akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi khususnya Kementerian Perumahan Tempatan bagi membolehkan pelatih-pelatih PLKN dilibatkan dalam program kemasyarakatan.

Beliau turut menggesa orang awam agar memberi kerjasama dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan membabitkan para pelatih.

“Pada masa inilah masyarakat dapat mendedahkan mereka mengenai amalan tolong menolong, bergotong-royong dan bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, seramai 32,000 pelatih sedang mengikuti latihan di 79 buah PLKN di seluruh negara siri pertama tahun ini akan berakhir pada 18 Mac nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi memberitahu dua kem PLKN masih ditutup kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi menyediakan perkhidmatan sewajarnya kepada pelatih.

Kem yang ditutup daripada 81 kem yang diwujudkan di seluruh negara pada sesi kali ini adalah Kem Muazam Shah di Pahang dan Kem Marang Terengganu atas beberapa faktor keselamatan pelatih.

“Kementerian melalui JLKN meminta pemilik kem menambah baik setiap kem membabitkan semua aspek, khususnya dari segi infrastruktur dan kesiapsiagaan.

“Penutupan itu bagi memastikan tiada rungutan diterima daripada pelatih mengenai keadaan kem dan perkhidmatan yang tidak sempurna,” katanya sambil menambah kedua-dua kem berkenaan akan dibuka semula apabila mematuhi prosedur ditetapkan.

Advertisement