Anda di sini

Anwar menang saman Papa Gomo

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menang kes samannya terhadap pengendali blog ‘Papa Gomo’ berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkannya (Anwar) dalam video seks di blog berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Anwar terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris, di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam N.Surendran dan Lateefa Koya yang mewakili Anwar dan peguam Jasbeer Singh Kawna yang mewakili Wan Muhammad Azri.

Ketika ditemui pemberita, Surendran memberitahu mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Anwar selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya dan Wan Muhammad Azri adalah ‘Papa Gomo’.

Beliau berkata mahkamah memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 kepada Anwar.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif,” kata Surendran.

Jasbeer Singh pula memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

Pada 21 Mac tahun lepas, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.

Rosilah, dalam penghakiman 35 muka surat, memutuskan berdasarkan semua keterangan dikemukakan, dari segi imbangan kemungkinan, mahkamah berpuas hati plaintif telah membuktikan defendan memfitnahnya kerana kesemua tiga perkara pokok dalam elemen fitnah dipenuhi.

Hakim berkata daripada keterangan dikemukakan, beliau mendapati defendan ialah blogger Papa Gomo dan telah menerbitkan kenyataan memfitnah dalam blognya.

Selain itu, katanya plaintif turut membuktikan defendan ialah individu bernama Papa Gomo dan telah menerbitkan kenyataan memfitnah mengenai plaintif dalam blog itu.

Rosilah berkata kenyataan itu boleh diakses dan disebarkan ke seluruh dunia dan defendan telah salah guna kemudahan Internet.

Katanya selepas meneliti dan menilai keterangan defendan, mahkamah tidak dapat menemui apa-apa yang dapat membuktikan dakwaan dibuat defendan terhadap Anwar adalah benar.

Hakim berkata, malah juga tiada sebarang keterangan dikemukakan untuk membuktikan dakwaan dibuat defendan terhadap plaintif adalah benar.

Rosilah berkata dalam keadaan itu, mahkamah memutuskan defendan telah gagal membuktikan kewajaran pembelaannya terhadap tuduhan memfitnah plaintif.

“Melihat kepada fakta kes, kedudukan plaintif, fakta bahawa kenyataan memfitnah itu menggunakan kata-kata kesat, pedas dan lucah dan diterbitkan secara meluas serta defendan gagal memohon maaf kepada plaintif di sebalik Notis Tuntutan diberikan dan kemudaratan serta impaknya kepada plaintif, saya berpendapat jumlah RM800,000 adalah adil dan munasabah diberikan sebagai ganti rugi am dan teladan,” katanya. — Bernama

Advertisement