Anda di sini

Agong serah watikah lantikan TYT kepada Taib

Advertisement

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam berkenan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara di sini.

Istiadat itu, yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Selepas hampir 33 tahun menabur jasa sebagai Ketua Menteri, Taib secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang tamat perkhidmatan semalam.

Kelmarin, Taib diraikan pada satu majlis perpisahan ringkas tetapi penuh bermakna di bangunan pentadbiran negeri Sarawak dengan dihadiri kira-kira 300 kakitangan kerajaan yang bertugas bersama beliau.

Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya’kub. — Bernama

Advertisement