Anda di sini

S’wak bina asas kukuh tarik pelaburan di bawah SCORE

Advertisement

KUCHING: Sarawak telah membina asas yang kukuh untuk menarik pelaburan di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sekali gus menolak dakwaan negatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa terhadap polisi pembangunan kerajaan.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, 10 industri utama dengan impak ekonomi tertinggi terhadap negeri ini telah dikenal pasti di bawah SCORE, antaranya kuasa hidro dan gas asli.

Malah katanya, pelaburan dilihat semakin memberangsangkan susulan kestabilan politik, keharmonian kaum, infrastruktur yang baik, kekayaan sumber semula jadi, kerajaan properniagaan serta bebas daripada bencana alam.

“Kebelakangan ini pelbagai isu berkaitan Sarawak telah diketengahkan oleh media, organisasi antarabangsa, tempatan dan NGO asing termasuk masyarakat umum.

“Ini termasuk tuduhan pemusnahan dan pencerobohan tanah gambut dan tanah lembap (bencah) kesan daripada perluasan aktiviti penanaman kelapa sawit pada skala besar di negeri ini.

“Namun di sebalik tuduhan-tuduhan  ini, Sarawak mempunyai asas yang kukuh untuk menarik kemasukan pelabur terutama melibatkan 10 industri utama yang hanya ditawarkan dalam SCORE,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada Jamuan Makan Tengah Hari anjuran kerajaan negeri sempena Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Malaysia Kelapan di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Tambah Awang Tengah, polisi penggunaan tanah Sarawak ketika ini menyasarkan tujuh juta hektar bagi perhutanan, iaitu enam juta hektar bagi estet hutan kekal bagi pengeluaran kayu yang lestari, satu juta hektar bagi penanaman hutan spesies tumbuh pantas dan satu juta hektar bagi pemuliharaan kawasan terlindung sepenuhnya (TPA).

“Pengurusan hutan lestari dan penjagaan persekitaran merupakan keutamaan kami di Sarawak dalam membangunkan sumber-sumber hutan di negeri ini.

“Dengan bantuan ITTO yang dibawa masuk pada 1990, kami menjalankan kajian latihan terhadap perancangan jalan, penyelarasan dan pembinaan bagi mengurangkan impak alam sekitar serta mengurangkan impak pembalakan dalam model kawasan pengurusan hutan.

“Malah FAO mendefinisikan bahawa 84 peratus daripada tanah di negeri ini masih diliputi hutan  berbanding negara-negara lain yang hampir kesemuanya kurang daripada 50 peratus kawasan tanah diliputi hutan,” tambahnya.

Sehingga kini, Sarawak mempunyai 48 TPA merangkumi taman-taman negara, kawasan lindungan hidupan liar dan rizab semula jadi seluas 809,900 hektar manakala 29 lagi TPA dengan keluasan 274,610 hektar akan ditubuhkan menjelang 2020.

Advertisement