Anda di sini

SJAM sedia beri khidmat ambulans kecemasan

Advertisement

SIBU: St John Ambulans Malaysia (SJAM) bersedia memberikan perkhidmatan ambulans kecemasan kepada hospital kerajaan sebagai usaha menyumbang kepada masyarakat.

Pemerintah Agung SJAM Datuk Dr Low Bin Tick berkata, SJAM bersedia memainkan peranan menyediakan perkhidmatan ambulans kecemasan kepada masyarakat Sibu.

“Ini selaras dengan usaha gigih SJAM untuk membantu masyarakat Sibu dengan menawarkan perkhidmatan ambulans kecemasan.

“Memandangkan SJAM telah mempunyai perkhidmatan ambulans kecemasan di Bintulu, maka idealnya perkhidmatan diteruskan di bandar Sibu,” jelasnya.

Dr Low berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pusat Hemodialisis Sibu St John Ambulans Sibu Kawasan Pantai Selangor (SJAM-KPS) di Jalan Jerrwit, semalam.

Dalam perkembangan lain, Dr Low berkata, diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan penyebab utama kepada kegagalan buah pinggang yang dialami rakyat negara ini.

“Bagi mereka yang mengalami tekanan darah tinggi dan kencing manis, harus berjaga-jaga dan pastikan mengambil ubat-ubatan atau mengawal pemakanan. Jika tidak buah pinggang anda akan rosak,” ujarnya.

Pemerintah Negeri SJAM Datuk Yeo Kim Thong berkata, Pusat Hemodialisis Sibu kini mempunyai 41 mesin hemodialisis yang mampu menampung 240 pesakit buah pinggang.

Yeo berterima kasih kepada penderma dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak yang sudi tampil menghulurkan sumbangan membantu pembinaan bangunan baharu Pusat Hemodialisis Sibu.

Hadir sama Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee.

Advertisement