Anda di sini

Program pengasingan kurangkan sampah dilupus

Advertisement

TURUT SERTA: Andrew (tiga kiri) bersama Ting (empat kanan) dan Hii (dua kanan) menyerahkan risalah mengenai program pengasingan sampah kepada wakil penduduk Taman Permai/Soon Hup dan Jalan Apollo.

SIBU: Program pengasingan sampah yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sejak pertengahan tahun 2011, telah berjaya mengurangkan jumlah sampah yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam MPS Rhoda Ting Tung Hui berkata, sejak diperkenalkan pada bulan Jun 2011, program juga berjaya mengumpul sejumlah barangan kitar semula.

“Sepanjang tahun 2012, sejumlah 17,774.5 kilogram barangan kitar semula telah dikumpul melalui program ini, sekali gus mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke pusat pelupusan sampah,” ujarnya pada satu sidang media, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong, Setiausaha MPS Hii Chang Kee serta yang lain.

Bagaimanapun menurut Ting, jumlah kutipan barangan kitar semula menerusi program pengasingan sampah sepanjang tahun 2013 menurun iaitu sebanyak 12,511kg.

Ini katanya, mungkin disebabkan penduduk mulai lupa dengan program tersebut yang telah dianjurkan di empat kawasan iaitu di Pulau Li Hua, Bukit Lima, Jalan Belatok, Jalan Jerrwit, Taman Seduan serta Ibu Pejabat Polis Sibu.

Dalam usaha mengurangkan lagi jumlah sampah yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah jelas Ting, program pengasingan sampah ini akan diperluaskan ke dua kawasan baharu iaitu di Taman Permai/Soon Hup dan kawasan sekitar Jalan Apollo.

“Program di kawasan terbabit akan bermula 1 April akan datang di mana penduduk boleh meletakkan barangan kitar semula yang telah diasingkan di hadapan rumah mereka untuk dikutip oleh pihak majlis pada hari tersebut.

“Kutipan dilakukan sebulan sekali melibatkan barangan kitar semula seperti kertas, plastik, aluminium dan besi,” katanya sambil menambah program dilaksanakan dengan kerjasama penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Ting lagi, hasil jualan barangan kitar semula yang disumbangkan oleh penduduk itu akan didermakan kepada badan kebajikan seperti Yayasan Buah Pinggang Sibu, Pusat Agape dan PERYATIM.

“Sehubungan itu, pihak majlis merayu kerjasama semua penduduk di kawasan terbabit bagi menjayakan program ini, di samping beramal,” tambah beliau.

Advertisement