Anda di sini

Presiden Filipina tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari

Advertisement

SEPANG: Presiden Filipina Benigno S. Aquino III tiba di sini semalam untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

Beliau disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup, setibanya di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) jam 3.12 petang.

Turut hadir Duta Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya.

Dalam kenyataan di sini, Kementerian Luar berkata Presiden Aquino akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan diraikan pada majlis jamuan negara di Istana Negara.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia.

Aquino, yang juga anak bekas Presiden Filipina Corazon Aquino, dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan isu-isu dua hala dan meninjau peluang untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Pada pertemuan itu nanti, Najib dan Aquino juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

Malaysia dan Filipina kini menjalin hubungan dan kerjasama yang erat dan kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama di peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah hingga AS$4.1 bilion (RM13.46 bilion) dengan eksport Malaysia berjumlah AS$2.7 bilion (RM8.86 bilion) dan import pula AS$1.3 bilion (RM4.27 bilion), untuk tempoh antara Januari dan November tahun lepas.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah AS$17.8 bilion (RM58.88 bilion) dari 2011 hingga Okober tahun lepas. — Bernama

Advertisement