Anda di sini

Pemilik NCR Bidayuh perlu bersabar

Advertisement

KUCHING: Semua pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dalam komuniti Bidayuh yang telah mendokumentasikan tanah di bawah inisiatif dokumentasi tanah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) mungkin perlu menunggu lama lagi untuk mendapatkan surat hak milik tanah mereka.

Ini kerana, menurut Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin kesemua tanah NCR yang telah didokumentasikan itu perlu dilakukan pengesahan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) terlebih dahulu sebelum diberi surat hak milik kerana buat masa ini, tidak diketahui sama ada ia sedang dilakukan atau belum.

“Saya tidak pasti bila surat hak milik tanah untuk komuniti Bidayuh dapat dikeluarkan kerana pengesahan oleh JTS mengambil tempoh yang agak lama… tidak mungkin dalam tahun ini,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Pengukuran tanah NCR Bidayuh adalah dilaksanakan di bawah langkah kedua inisiatif baharu NCR di mana ia disukat secara individu dan seterusnya dikeluarkan dengan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Ia adalah berbeza dengan langkah pertama iaitu pengukuran perimeter tanah NCR yang seterusnya diwartakan sebagai Rizab Guna Sama (Pertanian) Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Namun demikian, Austin menjelaskan bahawa kerajaan buat masa sekarang belum lagi melancarkan langkah kedua bagi inisiatif baharu NCR itu.

Bagaimanapun, peta yang dikeluarkan DBNA adalah diiktiraf oleh JTS kerana manual yang digunakan untuk melakukan dokumentasi adalah serupa dengan yang digunakan jabatan itu untuk melakukan kerja ukur keliling.

Tambahan, usaha mendokumentasikan tanah NCR individu itu hanya dilakukan oleh komuniti Bidayuh dan sejak dilaksanakan pada 2008 oleh DBNA, hanya diketahui bahawa dua kampung sahaja iaitu Kampung Skuduk dan Kampung Pisa telah dikeluarkan surat tanah.

“Oleh kerana langkah kedua di bawah inisiatif baharu NCR ini belum dilaksanakan maka ia tidak diberi keutamaan untuk dikeluarkan surat hak milik berbanding penyukatan perimeter.

“Sebab itu, pemberian surat hak milik untuk komuniti Bidayuh belum lagi dapat dilakukan sepenuhnya tetapi saya pasti tanah mereka yang telah didokumentasikan di bawah DBNA akan mendapat surat tanah,” kata Austin.

Projek dokumentasi tanah NCR Bidayuh di bawah inisiatif DBNA melibatkan pembinaan dan penyelenggaraan daftar tanah NCR, survei dan pemetaan tanah NCR, pembangunan dan pelaksanaan kerangka serta sistem organisasi pentadbiran tanah NCR di kampung-kampung Bidayuh.

Projek ini akan mengurangkan pertikaian tentang hak milik dan persempadanan tanah selain memudahkan penyertaan dalam skim pembangunan tanah NCR.

Malah, ia akan memberi perlindungan tanah adat milik bersama di kampung-kampung serta memudahkan pengeluaran surat hak milik tanah Bumiputera oleh kerajaan pada masa depan.

Menurut Austin, terdapat 198 kampung Bidayuh di bahagian Kuching manakala di daerah Serian sebanyak 145 kampung Bidayuh dan kebanyakannya sudah membuat dokumentasi.

“Sebaik sahaja mendapat pengesahan dan diberi surat tanah, saya yakin ia akan memberi manfaat yang tinggi kepada komuniti Bidayuh,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pemilik NCR dalam komuniti Bidayuh yang belum membuat dokumentasi tanah agar berbuat demikian kerana ia amat penting dalam memberi jaminan hak milik berkekalan kepada para pemilik tanah.

Advertisement