Anda di sini

Masih ada yang abai Sijil Perakuan Bomba

Advertisement

KUCHING: Sebanyak 47 daripada 150 premis di seluruh bandar raya ini tidak memiliki Sijil Perakuan Bomba (SPB) seperti yang telah ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut Ketua Zon JPBM Negeri (Zon Satu) Tiong Ling Hii, notis maksimum selama enam bulan akan dikeluarkan kepada premis yang gagal mendapatkan SPB seperti yang ditetapkan JBPM.

“Notis pertama akan keluar pada tiga bulan pertama, namun pemilik premis masih boleh memohon untuk melanjutkan tempoh selama tiga bulan lagi bagi memberi peluang kepada mereka untuk memohon SPB.

“Namun, sekiranya selepas enam bulan pemilik premis masih gagal mendapatkan SPB untuk premis mereka, mereka akan didakwa di mahkamah dan akan dikenakan denda sebanyak RM5,000,” katanya kepada pemberita pada Pertandingan Kawat Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Zon Satu, semalam.

Tambahnya, kesemua 47 premis yang dikenal pasti yang belum memohon SPB merangkumi dua kilang kelapa sawit sementara yang selebihnya terdiri daripada premis kerajaan dan bangunan kedai persendirian.

Kegagalan pemilik premis mendapatkan SPB kebiasaannya berkait rapat dengan kos pemasangan sistem bantuan kebakaran yang menelan belanja tinggi, ujarnya.

“Apa yang saya dapat tahu, kebanyakan pemilik premis gagal mendapatkan SPB kerana kos yang tinggi untuk memasang sistem kelengkapan memadam api.

“Pemilik premis seharusnya sedar akan kemungkinan bahaya api yang akan timbul daripada kecuaian dan tidak berasa terlalu selesa atau yakin dengan persekitaran sedia ada,” katanya.

Tambah Tiong, masyarakat harus peka dengan sebarang kemungkinan bahaya kebakaran serta berpengetahuan dalam menangani situasi panik sekiranya berlaku kebakaran di kawasan setempat.

“Kebiasaannya apabila kebakaran berlaku, orang ramai akan mudah panik dan tidak tahu bagaimana menangani situasi cemas, justeru JPBM menasihati orang ramai agar lebih bersiap sedia dan tidak cepat panik,” tambahnya.

Dalam usaha mendidik masyarakat mengenai langkah menangani situasi cemas kebakaran, Tiong berkata JPBM Negeri mengadakan program pencegahan kebakaran yang dijangka diadakan pada Mei tahun ini di 15 kampung terpencil di Lundu.

Pertandingan selama dua hari yang bermula semalam (27 Februari) hingga hari ini (28 Februari) itu disertai 120 pegawai bomba daripada enam pasukan Balai Zon Satu Sarawak.

Ia merangkumi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Balai Bomba dan Penyelamat Kuching, Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Bau dan Balai Bomba dan Penyelamat Lundu.

Antara acara yang dipertandingkan sepanjang pertandingan itu berlangsung ialah Kawat Operasi Membentang Hos 200 Kaki, Kawat Operasi ‘Fireman Lift’, Kawat Operasi Naik Turun Tangga dan Kawat Operasi Hantaran Jauh Berhalangan.

Kesemua acara yang dipertandingkan dibahagi kepada dua kategori iaitu kategori individu bagi lelaki dan wanita.

Pertandingan yang julung kali diadakan di peringkat zon itu bertujuan mengasah bakat di kalangan anggota-anggota selain memberi peluang kepada peserta terpilih untuk mewakili Sarawak ke Pertandingan Kawat Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan.

Advertisement